3 Buah Rumah Terbakar, 12 Penghuni Hilang Tempat Berteduh


MERADONG -- 12 penghuni tiga buah rumah di Kampung Muara Bunut hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 9.21 pagi.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan kesemua rumah jenis tidak kekal yang dibina berdekatan antara satu sama ot," ujarnya.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan 2 aliran 200 kaki 2 nozel yang manna sumber air diperoleh dari sumber terbuka iaitu dari air kolam berdekatan.

Setelah hampir dua jam memadam kebakaran, api akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.31 pagi.

Mujurlah kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami kesemua mangsa bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.