Kuala Terengganu: “Tolong lepaskan isteri saya sebab dia tidak tahu apa-apa mengenai motosikal curi itu, yang salah adalah saya,” rayu seorang suami, di Mahkamah Majistret, semalam.
Menurut laporan Harian Metro, Muhamad Amirul Ikhram Muhamad, 22, bersama isterinya, Nur Atifah Mat Rani, 20, berdepan pertuduhan mencuri motosikal bersama isterinya.
Pasangan suami isteri tersebut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan bermotor yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan didakwa bersama-sama mencuri motosikal Honda C100 milik Nor Jala Ngah, 54, di hadapan Kolej Politeknik Kuala Terengganu, Jalan Sultan Ismail, jam 11 pagi pada 11 Oktober lalu.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Muhamad Amirul Ikhram selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan manakala isterinya mohon dibicarakan.
Bagi kesalahan itu, Nur Atifah berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah Nur Atifah direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan penjamin.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda. -Harian Metro