Ada Pihak Cuba Putar Belit Kenyataan Sebenar Zamihan.


KUALA LUMPUR - Pentadbir media sosial Zamihan Mat Zain tampil memberi penjelasan Selepas dikritik sebagai tiada perasaan terhadap penceramah kontroversi itu.


Menurut laporan Malaysiakini, dalam status terperinci mengulas kenyataan Zamihan kelmarin, pentadbir Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari berkata pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu “tak larang pun bukan Muslim masuk ke dalam surau untuk berlindung”.

Pentadbir itu menyalahkan golongan “Wahabi” yang didakwanya memutar belit perkataan Zamihan bagi menggambarkannya sebagai pelampau.

“Mungkin juga Wahabi nak spin (putar belit) sebab dendam peribadi barangkali? Sebenarnya Ustaz Zamihan tak larang pun bukan Muslim masuk ke dalam surau untuk berlindung tetapi mestilah menjaga kesucian surau dan ruangan solat,” katanya.

Zamihan kelmarin berkongsi gambar sekumpulan masyarakat Cina mangsa banjir berteduh di sebuah surau di Pulau Pinang selepas diundang bilal masjid itu.

Mengulas gambar tular itu, Zamihan berkata situasi itu tidak patut berlaku dan keadaan semasa tidak boleh dikelaskan sebagai darurat.

Malah, katanya, pengurusan surau itu perlu mengingatkan golongan bukan Islam supaya menjaga adab dan syarat bagi menjaga kesucian masjid.

Tulisan asal Zamihan itu bagaimanapun tidak lagi dapat dibaca di Facebook itu, kemungkinan dipadam.

Malaysiakini juga masih belum berjaya mendapatkan penjelasan Zamihan berkaitan kenyataan itu.

Perhalusi kenyataan

Sementara itu, dalam hujah terperincinya hari ini, pentadbir laman itu cuba memperhalusi maksud sebenar Zamihan dalam kenyataannya.

Katanya, situasi yang tidak patut berlaku itu merujuk kepada tindakan lelaki bukan Islam tidak memakai baju di ruangan solat surau, wanita yang berseluar pendek dan membuka aurat dan lelaki bukan Islam yang berbaring atau tidur dalam surau tanpa alas.

“Inilah tiga situasi yang tak sepatutnya berlaku,” katanya.

“Seperti yang di beritahu oleh pengerusi surau bahawa surau pada ketika itu tidak mempunyai pakaian cuma hanya ada ‘kain pelikat, kain telekung dan kain ihram’.

“Ini bermaksud masih ada ‘ikhtihar lain’ bagi non-Muslim untuk menjaga kesucian atau menjaga adap dalam ruangan solat surau tersebut walaupun non-Muslim berlindung di dalam surau.

“Cuba lihat anak panah (berwarna merah) di dalam gambar di bawah ini dapat dilihat ada kain telekung untuk menutup aurat, kain ihram untuk menutup badan atau kain pelikat untuk dijadikan alas tempat tidur,” katanya.

Hangpa dah ‘kawtim’?

Berkaitan gesaan supaya pengurusan surau itu mengingatkan bukan Islam dengan adap dan syarat bagi menjaga kesucian masjid, pentadbir Facebook Zamihan berkata perkara itu hanyalah teguran.

“Tidak ada! Sekali lagi tidak ada! Tiada pun perkataan Ustaz Zamihan yang menyuruh atau bertegas kepada pihak pengurusan surau itu supaya melarang non-Muslim berlindung di dalam Surau.


“Hairan cepat betul Wahabi, FMT dan Mykini buat kerja dajal hangpa bertiga dah kawtim (pakat) ke?” tulisnya.

Zamihan sebelum ini pernah menyalahkan media setelah terpalit dakwaan mengkritik sultan Johor yang menolak kedai dobi khusus untuk umat Islam di Muar, Johor.

Zamihan mendakwa laporan laman berita itu “jelas berniat jahat dan berunsur fitnah” dan “cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan Istana” berhubung isu itu.-Malaysiakini