Baru-baru ini, gambar seorang kanak-kanak yang tampil mengenakan pakaian watak seram terkenal “Annabelle” tersebar di media sosial.
Rossabelle Rony, 7, atau nama panggilannya Bella mengenakan bayaran RM2 bagi setiap sesi swafoto kepada pengunjung yang mahu bergambar dengannya.
Hasratnya yang mahu mengumpul wang membeli beg sekolah idamannya telah tercapai hasil usahanya sendiri apabila berjaya mengumpul wang RM370.
Bella tampil dengan personaliti tersebut ketika ibunya membuka gerai menjual alat solek sempena majlis konvokesyen di Politeknik Kota Kinabalu, hujung minggu lalu.
Ibunya yang bernama Stacy Yong, 28 berkata anaknya itu memegang watak Annabelle selama empat hari atas kerelaan hatinya sendiri kerana mahu membeli beg sekolah bagi menggantikan beg sekolah yang telah koyak.
“Baru-baru ini, beg sekolahnya koyak kerana membawa buku yang banyak. Dia mengadu meminta dibelikan sebuah beg beroda supaya tidak mudah rosak.
“Saya berjanji mahu membelikan beg itu pada hujung bulan ini iaitu selepas bapanya menerima gaji," katanya.
Bella yang tidak sabar untuk mendapatkan beg tersebut menawarkan diri untuk membantu ibunya berniaga dengan menampilkan dirinya sebagai watak Annabelle.
“Ketika berniaga, saya membawa Bella dan seorang lagi anak saya. Ketika itu, Bella berkeras mahu membantu dengan membuat penampilan menyerupai watak Annabelle dan menawarkan khidmat swafoto kepada pengunjung dengan bayaran RM2.
“Saya berfikir, mungkin ini cara mendedahkannya untuk berdikari bahawa tidak mudah untuk mencari wang tanpa sebarang usaha lalu saya membeli pakaian terpakai yang bersesuaian dan menyolek muka Bella hingga menyerupai watak Annabelle," katanya yang turut menjual alat solek secara atas talian.
Menurut Stacy, hasil usaha Bella dapat menarik perhatian pengunjung apabila ramai yang tidak melepaskan peluang berswafoto bersama ‘Annabelle’ sambil menghulurkan RM2.
Bella berjaya mengumpul wang lebih daripada harga beg yang mahu dibelinya di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu yang bernilai RM140.
Kini Bella sudah membeli beg idamannya yang bewarna merah jambu dan baki wangnya digunakan untuk membeli buku dan alat tulis untuk kelengkapannya ke sekolah.Sumber:Harian Metro , Editor:Anna