Zara Zya Akui Ikut Trend Apabila Mengeluarkan Single Pertamanya


Pelakon, Zara Zya yang dikatakan mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang nyanyian telah selamat keluarkan single pertama miliknya dengan lagu berjudul Tiada Dendam.

Lagu tersebut adalah hasil ciptaan Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam manakal liriknya pula adalah milik Iman Imran.

Lagu ini sudah boleh didengar di Apple Music bermula hari ini manakala video liriknya pula akan dilancarkan di Channel Youtube Life Records Malaysia pada 30 Mac 2018.

Selain itu, lagu ini juga boleh didengar di Spotify, JOOX,KKBOX, DEEZER dan lain-lain digital platform bermula esok.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin menyifatkan single pertamanya ini adalah sebagai hadiah buat peminatnya.

Ujarnya lagi, dia melihat tahun 2018 adalah tahun yang sesuai buatnya untuk mencuba sesuatu yang baharu, apatah lagi, sudah beberapa kali peminat setianya meminta agar dia mengeluarkan single tersendiri.

"Zara memang dah lama minat menyanyi cuma tak adalah aktif. Kalau pergi event adalah sesekali menyanyi dan selebihnya karaoke.”

"Jadi bila peminat tahu Zara suka menyanyi, mereka minta Zara keluarkan single sendiri. Jadi Zara kira ini adalah hadiah juga buat peminat," katanya lagi.

Dalam pada masa yang sama, Zara menyatakan bahawa dia sudah bersedia menerima apa jua kritikan daripada netizen sekiranya terdapat segelintir daripada mereka yang tidak menyukai nyanyiannya.

Namun, Zara juga turut tidak menolak bahawa keputusannya mengeluarkan single sendiri, sebagai mengikut trend beberapa pelakon yang menceburi bidang seni suara sejak akhir-akhir ini.

"Zara lihat sekarang pun ramai pelakon yang keluarkan single dan dapat respons baik. Jadi alang-alang apa salahnya Zara cuba.”

"Kalau ada orang tak suka pun, Zara terima. Menyanyi pun macam berlakon juga. Ada orang suka, ada orang tak suka.”

"Jadi Zara ambil dan lihat dari sudut positif. Kalau ada kekurangan, kita perbaiki untuk masa akan datang," jelasnya lagi.

Lagu pertama miliknya yang berjudul Tiada Dendam ini merupakan hasil kerjasama syarikat Zara sendiri, Zara Zya Management Sdn Bhd bersama Life Records dan Waznah Sdn Bhd dari Brunei Darussalam.

Menceritakan lebih lanjut mengenai single terbaharunya ini, Zara menyatakan bahawa lagunya itu adalah mengisahkan tentang kepercayaan seseorang yang telah dikhianati, namun dia tetap memaafkan dan mendoakan yang terbaik buat individu itu.

"Perkataan dendam itu sendiri sangat kuat. Tapi lagu ini sebenarnya ada banyak nilai positif.”

"Ia mengenai perlunya kita menghapuskan rasa yang tak elok dalam diri kita. Lagu ini bukan ditujukan buat pasangan sahaja, tapi boleh juga untuk sahabat dan keluarga," tambahnya lagi.

Bagaimanapun, dalam perkembangan yang lain, Zara kini dikatakan sedang sibuk dengan penggambaran drama terbarunya, Mona Lisa dan dalam masa yang sama turut mempromosikan single terbaharunya itu. Sumber: Sinar Harian, Editor: Maya