Semasa pemerintahan BN, pembangkang selalu menuduh media arus perdana tidak memberikan liputan atau lebih buruk lagi, memburuk-burukkan mereka atas arahan tuan politik mereka.
Bagaimanapun, kini kerajaan BN Sarawak pula mendakwa media milik kerajaan, RTM tidak menyiarkan berita kerajaan negeri sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih kerajaan persekutuan.
Bercakap kepada Dayak Daily, menteri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mendakwa beberapa agensi persekutuan telah berhenti bekerjasama dengan mereka.
Beliau berkata selain daripada acara menteri BN negeri yang tidak disiarkan, maklumat mengenai program dan aktiviti mereka juga tidak disebarkan.
"Secara peribadi, saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku.
"Jika ketua menteri atau menteri-menteri lain daripada BN mempunyai program yang tidak berkaitan politik, RTM perlu bertindak adil dan menerbitkan berita berkenaan," katanya.
Abdul Karim mendakwa program berita RTM jam 7 pagi juga telah menghentikan siaran majlis berkaitan kerajaan negeri BN.
"Sarawak tidak seharusnya dihukum media nasional hanya kerana kami pembangkang," katanya, sambil menjelaskan tanggapan "jika anda tidak bersama kami, anda menentang kami" sebagai suatu yang tidak sihat.
"Kami masih rakyat Malaysia dan majlis-majlis ketua menteri kami ... kami mulakan dengan nyanyian Negaraku ... Kami masih sebahagian dari negara ini," katanya.
Manifesto HARAPAN berjanji untuk membuka media dan membebaskannya daripada kawalan pemerintah bagi menggalakkan laporan yang tidak berat sebelah.
Tidak lama selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, anggota parlimen DAP, RSN Rayer dibidas kerana mencadangkan lesen siaran TV3 dibatalkan.
Semenjak kemenangan bersejarah HARAPAN media arus perdana tidak menunggu lama sebelum menyediakan liputan meluas kepada kerajaan baru dan pemimpinnya, termasuklah akhbar milik pembangkang Umno, Utusan Malaysia dan The Star, milik pembangkang MCA. - Malaysiakini