Janji Pakatan Harapan Menghapuskan GST Adalah Fantasi - Najib


Meskipun dengan operasi penggeledahan polis yang dikaitkan dengannya, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tetap menyifatkan janji Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menghapuskan GST dan melakukan pembaharuan ekonomi sebagai fantasi dan tidak realistik.

"Itu (janji HARAPAN) adalah fantasi. Tak mungkin mereka boleh melaksanakannya," katanya dipetik dalam wawancara Malay Mail semalam.

Najib berkata demikian sebagai merujuk janji HARAPAN membuat pengecualian dan penagguhan bayaran PTPTN, menghapuskan GST dan menurunkan harga minyak.

Najib turut menyatakan keraguannya terhadap langkag mengurangkan GST kepada sifar yang merupakan langkah sementara yang diumumkan HARAPAN dalam penghapusan cukai berkenaan.

"GST sifar bukan apa yang mereka janjikan. GST sifar boleh juga bererti anda boleh tambah bila-bila masa," katanya.

Najib turut menyifatkan laporan yang mengatakan pentadbirannya gagal sebagai percubaan HARAPAN memburukkan imejnya.

"Sudah boleh dilihat bahawa tiga hari selepas pilihan raya, mereka kata ekonomi dalam keadaan kukuh.

"(Sedangkan) sebelum itu mereka kata ekonomi dalam keadaan teruk, kita sedang bankrap, dan Malaysia perlu diselamatkan.

"Adakah mereka cuba katakan bahawa ekonomi pulih dengan secepat itu?

"Simpanan kewangan kukuh, dan kita ada pertumbuhan yang baik?

"Tidak! Ini adalah kenyataan yang dibuat tiga hari selepas pilihan raya," katanya dan menambah bahawa ekonomi sedia baik di bawah BN. - Malaysiakini