Kes Pembunuhan Altantuya, Kerajaan Tak Perlu Ampunkan Sirul.


Kerajaan tidak seharusnya melayan permintaan Sirul Azhar Umar dalam usahanya mendapatkan pengampunan berhubung kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu, kata Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh hari ini.

Ramkarpal menegaskan terdapat saksi lain yang masih bebas tetapi anehnya tidak dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan pembunuhan berkenaan.

Mewakili keluarga Altantuya, Ramkarpal berkata tawaran Sirul itu "merupakan penghinaan kepada mangsa dan sepatutnya tidak dilayan sama sekali."

"Tidak ada semacam penyesalan dari Sirul dalam wawancara itu, terutamanya ketika pembunuhan itu dilakukan dengan cara yang sangat keji.

"Dia juga mengatakan dia telah membunuh yang lain kerana mengikut arahan, yang bertentangan dengan dakwaannya bahawa pembunuhan Altantuya adalah satu-satunya jenayah dilakukannya," kata Ramkarpal, yang merupakan peguam mewakili keluarga Altantuya.

Pada tahun 2015, Sirul dan Azilah Hadri dihukum mati atas kesalahan membunuh Altantuya.

Wanita berasal dari Mongolia itu ditembak pada 2006 sebelum diletupkan di sebuah kawasan di Puncak Alam.

Kedua-duanya anggota polis elit itu juga merupakan pengawai pengiring kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah Persekutuan tidak menyatakan siapa yang mengarahkan pembunuhan tersebut.

Azilah kini berada di penjara dan sedang menunggu hukuman mati , manakala Sirul melarikan diri ke Australia.

Kerajaan BN sebelum ini tidak mengekstradisi Sirul kerana undang-undang Australia yang tidak mengiktiraf hukuman mati.

Ramkarpal berkata: "Dengan mengambil kira keadaan yang luar biasa dalam kes ini, saya berpendapat bahawa hukuman Sirul patut dipenjarakan seumur hidup, di mana dia akan dihantar pulang ke Malaysia dari Australia dan menjalani hukuman di penjara Kajang.

"Apabila dia kembali ke tanah air, dia boleh dipaksa untuk bekerjasama dalam siasatan tersebut atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu, muncul sebagai saksi terhadap mereka yang mengarahkan pembunuhan Altantuya." - Malaysiakini