"Mengapa saya perlu bazirkan pandangan saya untuk mereka?" soalnya kembali ketika ditanya tentang nasib parti itu selepas kekalahan pada PRU ke-14.
Sinonim dengan gaya lantang dan tidak berlapik, bekas ketua Wanita Umno itu tidak bercakap banyak berhubung soal parti yang pernah dipimpinnya itu.
"Saya tidak mahu ulas tentang parti bodoh ini.
"Saya tidak peduli apa yang mereka mahu cadangkan," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, ketika ditanya berhubung cadangan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin agar keahlian Umno dibuka kepada semua kaum.
Selepas ditanya lagi beliau akhirnya menyatakan pandangannya.
"Saya tidak peduli tentang Umno, mereka buang saya. Jika mereka mahu bunuh parti sendiri, teruskan. Sebuah parti hanya boleh ke depan berdasarkan siapa yang mentadbirnya.
"Anda bercakap tentang parti yang mana orang yang tidak bertanggungjawab menjadi pemimpinnya, ia akan runtuh," katanya lagi.
Pembangkang yang membina?
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu malah tidak yakin dengan kebolehan Umno untuk menjadi pembangkang yang berwibawa.
"Mereka yang membuat kenyataan bodoh sebelum ini, adakah anda rasa mereka mampu menjadi membina sekarang?
"Mereka yang sering jadi bahan lawak rakyat sebelum ini, adakah mereka tiba-tiba menjadi berwibawa kerana sudah jadi pembangkang?"
Bercakap tentang parti komponen BN pula, Rafidah berkata mereka juga patut disalahkan atas kekalahan luar biasa BN - kali pertama kehilangan kuasa di peringkat persekutuan.
"Semuanya sedang menyelamatkan diri sendiri sekarang, bukan berkata 'kami sama-sama bertanggungjawab'.
"Bagaimana (BN) boleh pulih semula dengan sikap seperti itu?" soalnya yang pernah memimpin Wanita Umno selama satu dekad.
Kedudukannya dalam parti dan kerajaan membuatkannya digelar 'wanita besi', ekoran sikap terus-terang dan lantangnya mirip bekas perdana menteri United Kingdom, mendiang Margaret Thatcher.
Rafidah, 75 tahun, dibuang Umno awal bulan ini selepas berkempen untuk HARAPAN dan Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka.
Beliau sebahagian daripada kabinet Mahathir hampir sepanjang pentadbiran pertama Pengerusi BERSATU itu.
Lupakan dulu Pantai Timur
Bercakap tentang PAS pula, beliau berkata tidak terlalu memberi tumpuan tentang pengukuhan parti itu di pantai timur semenanjung.
Walaupun menang di peringkat pusat dan beberapa negeri, HARAPAN gagal menang walau satu kerusi parlimen dan DUN di Kelantan dan Terengganu.
Rafidah bagaimanapun berkata HARAPAN perlu memberi tumpuan kepada soal menyelesaikan masalah ekonomi negara terlebih dulu.
"Tak perlu bercakap tentang Kelantan dan Terengganu pada masa ini, ia sepatutnya perkara terakhir dalam fikiran kita.
"Apa yang lebih penting sekarang? Selesaikan masalah ekonomi atau apa?" katanya.
Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk menyokong politik yang mampu membawa keharmonian kepada negara.
"Jika rakyat Malaysia secara kolektif menolak politik seumpama itu, mereka (PAS) tidak akan ada tempat.
"Jadi jika rakyat mahu keharmonian yang sebenarnya, kita tidak perlu berikan air kepada benih-benih kecil itu," katanya lagi. - Malaysiakini