Kenderaan polis dipercayai dinaiki pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dilihat keluar dari kediaman peribadi Najib di Langgak Duta pada pukul 1.40 petang setelah dua jam berada di kediaman itu hari ini.
Menurut sumber, proses mengambil keterangan itu sepatutnya dilakukan semalam namun terpaksa ditunda pada hari ini bagi membantu siasatan.
Katanya siasatan dijalankan susulan laporan polis yang dibuat Najib di Pekan, Pahang baru-baru ini mengenai serbuan dan rampasan barangan milik berharga di apartmen mewah yang terletak di Jalan Raja Chulan itu.
Semalam, polis mengambil keterangan anak perempuan Najib berhubung tindakan polis merampas beberapa barangan miliknya susulan pemeriksaan di apartmen mewah itu.
Polis dilaporkan mengambil keterangan anak perempuan bekas Perdana Menteri itu, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Gina selepas beliau membuat laporan polis kerana tidak berpuashati dengan tindakan polis melakukan pemeriksaan dan merampas beberapa barangan yang didakwa sebagai hadiah perkahwinannya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharudin Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya merakam keterangan Najib di kediamannya hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati lebih 20 pengamal media berkampung di sekitar laluan masuk ke kediaman Najib di Langgak Duta sejak pagi tadi bagi mengikuti perkembangan terkini.
Terdahulu dua kenderaan dipercayai dinaiki peguam Najib turut dilihat memasuki kediamannya pada kira-kira 12 tengah hari tadi. - BERNAMA