NAMPAKNYA tempias populariti Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut dirasakan oleh syarikat pengeluar kasut terkemuka, Bata.
Beberapa hari lepas, sekeping gambar Tun Mahathir mengenakan sepasang selipar Bata di sebuah majlis makan malam tular di media sosial.
Gambar itu dimuat naik ke Instastory seorang pengguna Instagram dengan nama pengguna @azranshah.
Ia mendapat reaksi positif netizen yang kagum dengan sifat Perdana Menteri ketujuh itu yang merendah diri dan tidak mementingkan harga dalam memilih barangan untuk digunakan.
Menurut maklumat, reka bentuk selipar itu berjenama Bata telah berada di pasaran sejak 20 tahun lalu dan hanya berharga RM12.
Bata, menerusi entri di Facebook pada Khamis, memaklumkan selipar yang dipakai Tun Mahathir itu kini merupakan yang terlaris di pasaran kini.
"Aksesori Ramadan 2018 paling laris, seperti yang dipakai oleh Tun Mahathir. Dapatkannya di kedai-kedai berdekatan atau secara atas talian!" entri itu menyebut.
Menjawab satu pertanyaan di ruangan komen, Bata secara bergurau berkata mereka mungkin akan menghubungi Tun Mahathir untuk 'berbincang soal royalti'. - Astro AWANI