Bekas Pembantu Najib Ada Dalam Laporan Polis Yang Di Buat Altantuya


Musa Safri, bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi perdana menteri dinamakan dalam laporan polis bagi siasatan baru ke atas pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Laporan polis itu dibuat oleh bapa mendiang Altantuya, Setev Shaariibuu. Peguamnya Ramkarpal Singh menegaskan setakat ini tiada sesiapa yang dinamakan sebagai suspek dalam laporan itu.

Musa merupakan orang atasan kepada bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya.

Musa sebelum ini dikatakan memberitahu Azilah dan Sirul untuk berjumpa rakan rapat Najib, Razak Baginda yang dipanggil membantu siasatan polis selepas dikatakan diganggu kekasihnya Altantuya.

Musa tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan dan Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan kenyataannya tidak penting dalam kes itu.

"Saya percaya kalau bukan kerana Musa, Azilah dan Sirul tidak akan datang ke rumah Razak hari itu (19 Oktober 2016) dan anak saya mungkin masih hidup hari ini," kata Setev dalam laporan polisnya.

Menurut Setev, Musa merupakan saksi penting dalam siasatan untuk mengetahui pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya kerana Azilah dan Sirul tidak kenal anaknya sebelum pembunuhan.

"Pasti ada pihak yang mengarahkan Azilah dan Sirul membunuh anak saya yang mana saya percaya pihak berkenaan juga bersalah dalam pembunuhannya.

"Apa lagi kegagalan pendakwaan bagi menunjukkan bukti motif pembunuhan anak saya dengan tidak memanggil Musa menimbulkan keraguan sama ada wujud percubaan menyembunyikan hal sebenar yang mana saya gesa agar pihak polis membuat siasatan lanjut," tambah Setev.

Azilah sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa selain mengaturkan perjumpaan dengan Razak, Musa tidak ada penglibatan lain dalam kes berkenaan.

Sementara itu, selain menamakan Musa, Setev juga menggesa polis menyiasat bagaimana Azilah dan Sirul memperoleh bahan letupan untuk meletupkan mayat Altantuya, dan sama ada pihak yang membekalkan bahan letupan itu terlibat dalam pembunuhan.

Setev turut mempersoalkan alasan pendakwaan yang tidak merayu pembebasan Razak kerana bersubahat dalam pembunuhan.

Ramkarpal sebelum ini berkata terdapat petunjuk baru dalam kes berkenaan yang hanya akan didedahkan apabila polis memulakan siasatan.

Altantuya, 28, dibunuh dan mayatnya diletupkan pada Oktober 2006.

Azilah dan Sirul disabitkan bersalah pada 2009 dan dijatuhkan hukuman gantung. Mereka kemudian dibebaskan selepas mahkamah rayuan menolak sabitan pada 2013.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 kemudian mengekalkan hukuman gantung mereka. Sirul telah melarikan diri ke Australia sementara Azilah sedang menunggu hukuman. - Malaysiakini