Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang kini menjadi buruan pihak berkuasa mendakwa kesuburan demokrasi di Malaysia sudah mati sejak Pakatan Harapan mengambil kepemimpinan negara.
Jamal yang menghilangkan diri sejak dua minggu lalu mendakwa, tekanan, penganiayaan serta siri pendakwaan ke atasnya adalah bukti jelas bagaimana Pakatan Harapan melaksanakan dendam politik ke atas pihak yang lantang bersuara.
"Saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia, tetapi apa yang terjadi ke atas saya semata-mata kerana dendam politik yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan demi menjatuhkan kredibiliti saya sebagai pimpinan masyarakat.
"Justeru, saya menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyuburkan sistem demokrasi di negara ini yang telah dikhianati kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan yang menjalankan sistem kuku besi bagi menekan lawan mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku jika benar kerajaan Pakatan Harapan membawa semangat Malaysia Baharu sebagaimana didakwa.
Apatah lagi jelas Jamal, beliau bukan penjenayah atau pengganas, sebaliknya adalah pemimpin politik serta pemimpin masyarakat yang mendedahkan sesuatu isu bagi meredakan kebimbangan orang ramai.
"Perkara seperti ini tak sepatutnya berlaku kerana kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat perlu memakmukam, memajukan dan mensejahterakan rakyat bukannya menindas pihak lawan," katanya.
Sebelum ini Dalam situasi hilang tanpa dapat dikesan oleh pihak polis, Jamal Yunos dikatakan menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan sekali gus, sebagai Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal 2018/2021.
Pemilihan akan dijalankan pada akhir bulan ini.
Memetik laman sosial Facebooknya yang turut dikongsi oleh Iqbal Khalid yang memuatnaik postingnya kira-kira lima jam lalu, Terkini: Jamal Yunos menawarkan diri sebagai Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia & Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2018-2021.
Berdasarkan catatan yang terpampang, semalam, 17 Ramadan bersamaan dengan 2 Jun, selepas menerima pandangan dan sokongan serta nasihat rakan-rakan seperjuangan, Jamal Md Yunos menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon.
Menurut catatan itu lagi, tujuan Jamal menawarkan diri untuk bertanding adalah untuk membina kembali semangat perjuangan kepada semua ahli UMNO seluruh Malaysia, terutama kepada Pemuda untuk bersama-sama meneruskan perjuangan.
“Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya. - Utusan Online