Keluarga mendiang Ivana Esther Robert Smit menawarkan ganjaran AS$50,000 (RM198,675.42) kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penahanan pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian model warga Belanda itu di Kuala Lumpur Disember lalu.
Pada tahun lalu, pihak keluarga juga meminta bantuan Interpol untuk menyiasat kematian Ivana.
Mereka menyebarkan poster kepada media dan menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi mereka melalui emel.
"Jika lebih daripada seorang memberi maklumat yang penting dalam penangkapan dan sabitan, ganjaran akan dibahagi sama rata," kata keluarga itu.
"Ganjaran akan diberi sehingga jelas sabitan akan dibuat."
Pihak keluarga syak berlaku unsur jahat di sebalik kematian Ivana, 19, yang jatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Dang Wangi pada 7 Disember tahun lalu.
Polis bagaimanapun mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian secara mengejut.
Sebelum kejadian, dia bersama-sama pemilik apartmen keluar minum. Polis dilaporkan memberitahu pihak keluarga bedah siasat mendapati kesan alkohol, ekstasi dan amphetamine dalam tubuhnya.
Media Belanda memetik bapa Ivana sebagai berkata, keluarga percaya dia ditolak dan mendakwa kesan lebam di lehernya menunjukkan ada orang yang mencekiknya.
"Ada kesan lebam di kepala dan lengan Ivana, dan ia berlaku sebalum dia jatuh," dakwa keluarga.
Ivana pernah menyertai pertandingan Malaysia Supermodel Search 2014 ketika berusia 15 tahun dan mendapat tempat kedua. - Malaysiakini