Khairy Jamaluddin Sah Bertanding Presiden Umno.


Selepas pelbagai spekulasi, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akhirnya mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan presiden pada pemilihan hujung bulan ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu memuat naik borang pencalonannya di Instagram sebentar tadi.

"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan," katanya mengiringi gambar itu.

Pengesahan ini menjadikan pemilihan kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Khairy, pemangku Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah dan penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz.


Sebelum ini Khairy Jamaluddin dilaporkan bakal bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti hujung bulan ini, walaupun sebelum ini mengisytiharkan beliau hanya akan merebut jawatan naib presiden.

Menurut laporan BH Online hari ini, beliau akan menghantar borang pencalonannya sebelum pencalonan ditutup lima petang ini.

"KJ akan tanding presiden," kata seorang exco Pemuda Umno seperti dipetik.

Jika ia menjadi kenyataan, kedudukan presiden Umno yang lazimnya tidak dicabar dalam pemilihan sebelum ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru. - Malaysiakini