Ia berkemungkinan menjadi antara penyelesaian masalah bebanan beg berat yang dibawa murid.
Masalah itu adalah salah satu dari empat isu utama diterima menerusi cadangan penambahbaikan sistem pendidikan negara yang dibuka sejak minggu lepas.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata sehingga kini lebih 11,000 cadangan dan masalah sistem pendidikan diterima melalui perisian google dokumen khas yang dibangunkan.
“Kalau kita lihat di negara maju, sistem pembelajaran mereka berdasarkan pembelajaran berasaskan pertanyaan iaitu mereka mengkaji. Kalau kita menitikberatkan unsur-unsur mengkaji, buku teks boleh ditinggalkan di rumah.
“Di sekolah mereka dilatih untuk membina kaedah sebenar mengkaji benda itu boleh dilakukan dan tidak melibatkan sebarang kos. Tunggu Khamis ini saya akan buat pengumuman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pelupusan Sampah Ladang CEP Renggam di Simpang Renggam, Johor.
Maszlee berkata isu lain yang turut diterima ialah masalah sistem Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG 2) yang diutarakan guru-guru.
Malah, menurutnya masalah graduan membabitkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan juga masalah membabitkan siswa iaitu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Jelas maszlee, AUKU akan digantikan dengan akta yang lebih baik dan tiada lagi campur tangan politik terhadap universiti dan siswa.
Katanya Kementerian Pendidikan akan mengadakan sidang media pada Khamis ini untuk memberi perincian penuh isu terbabit termasuk penyelesaian yang boleh diguna pakai. - Astro AWANI