Najib Tak Salah, Tuduhan Terhadap Najib Tidak Benar Kata Penduduk Pekan.


Kira-kira 500 orang menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang hari ini.

Walaupun jumlah yang hadir ternyata kecil berbanding semasa sambutan di Seri Perdana, Putrajaya, ketika beliau adalah perdana menteri, mereka yang mengunjunginya hari ini tetap memberi sokongan dan mengambil kesempatan untuk bersalaman serta berswafoto.

Sebahagian besar hadirin yang ditemui oleh Malaysiakini tidak ambil kisah dengan segala pertuduhan oleh kerajaan baru di Putrajaya terhadap Najib, termasuk serbuan yang dijalankan ke atas rumah atau kediaman yang dikaitkan dengannya.

Bagi mereka, kerajaan berhak menyiasat, tetapi Najib tidak seharusnya dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.

"Kerajaan ada hak untuk menyiasat, biarlah, tugas mereka, biarkan mereka melakukan tugas mereka dan kami akan menunggu hasilnya.

"Saya bukan hakim (untuk mengatakan sama ada Najib bersalah atau tidak), biarkan mereka membawanya ke mahkamah.

"Dia tidak bersalah sehingga dibuktikan," kata Khairul Osman, 58 (gambar).

Beliau yang datang dari Kuantan mengakui dirinya sebagai penyokong Najib dan datang ke Pekan hari ini untuk meraikan Hari Raya bersama bekas perdana menteri itu.

Khairul berkata, beliau menghadiri rumah terbuka Najib di Pekan hampir setiap tahun.

Norita Mohd Yusof, seorang suri rumah yang berumur 40 tahun berkata, beliau juga menghadiri setiap acara yang diadakan oleh Najib di Pekan kerana dia adalah anggota Umno yang tinggal berdekatan.

Walaupun beliau percaya kebanyakan pertuduhan terhadap Najib adalah tidak benar, Norita berkata dia terkejut dengan jumlah barangan yang dirampas oleh polis dalam serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

“Memang terkejut dengan jumlah barangan yang banyak itu. Itu yang saya cakap kita tak boleh nak judge (hakimi) dia macam-macam, biar dia disiasat dulu.

“Kalau disiasat, silakan siasat dgn betul. Bukan kita defend (pertahan) tapi bila dah disiasat baru boleh kita cakap benda itu betul ke apa ke. Kalau belum lagi, cuma sekadar desas-desus, kalau cuma cakap-cakap aje, kita pun takkan simpan dalam hatilah.

“Tapi biarlah disiasat. Lebih baik dia disiasat, daripada kita nanti masih ada orang nak kata-kata,” kata Norita (gambar).

Seorang anggota Pemuda Umno yang menghadiri rumah terbuka itu berkata beliau tidak menyalahkan polis kerana menjalankan tugas mereka menyiasat Najib.

Bagaimanapun, Mohd Faznur Mohd Fadzir, 28, menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan spekulasi.

“Kita jangan membuat fitnah dan tohmahan yang bukan-bukan. Selagi kita belum dapat sebarang bukti yang kukuh untuk mendakwa seseorang itu.

“Polis masih menyiasat, maka belum menjatuhi sesiapa hukuman. Polis nak buat siasatan menjalankan tanggungjawab mereka tidak ada masalah, tapi saya berharap semua rakyat jangan cepat terpengaruh.

“Jangan membuat spekulasi yang tak betul. Kita ambil kira faktor yang betul. Jangan kita suka hati membuat spekulasi yang boleh menjatuhnya maruah orang dan parti,” kata Mohd Faznur (gambar) kepada Malaysiakini.

Pada masa yang sama, beliau juga mengkritik serbuan yang dilakukan di rumah Najib di Jalan Duta, Kuala Lumpur sejurus selepas bekas perdana menteri pulang dari sembahyang terawih.

“Inikah cara mereka (kerajaan baru) yang nak memimpin? Dari pandangan saya, ini adalah tak sepatutnya berlakunya begitu, boleh memalukan keluarga dan imej negara,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kerajaan baru, Mohd Faznur, yang mrupakan seorang ahli perniagaan, berkata beliau berharap pentadbiran baru itu akan memberi tumpuan lebih kepada memenuhi janji-janjinya kepada rakyat.

“Rakyat bukan nak tengok untuk mencari kesalahan siapa itu, siapa ini.

“Tapi rakyatnya sebenarnya nak tengok di tahap mana, setakat mana janji-janji, manifesto Pakatan Harapan terhadap rakyat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Radin, 41 (gambar) dan berkerja sebagai seorang ejen hartanah berkata beliau hadir di rumah terbuka Najib di Pekan tahun ini kerana keluarganya, terutama isterinya, adalah peminat tegar bekas perdana menteri itu

Berkenaan dengan tuduhan terhadap Najib, beliau berkata beliau tidak mahu membuat penilaian mengenai isu itu kerana siasatan masih dijalankan.

“Kita tak boleh nak sangka buruk atau baik seseorang itu.

“Kita kena bersangka baik terhadap kedua-dua pihak. Sebab saya sendiri pun agen property so bila saya berurus dgn hal-hal hartanah ini, melibatkan purchaser dengan vendor jadi saya kena protect kedua-dua pihak,” katanya.

Bagaimanapun, Radin percaya bahawa beg berjenama yang disita oleh polis dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib hanyalah sekadar hobi bagi pengumpul.

“Kita nampak daripada golongan orang senang, dia akan dptkan benda ddengan mudah sebab dari segi kewangan dia pun okay jadi tak ada masalah bagi dia, jadi saya tak terkejut langsung.

“Dia ada akses untuk kekayaan tetapi tidak boleh terlampau menonjol-nojol,” katanya.

Pihak berkuasa telah melakukan beberapa serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Najib, termasuk rumah peribadinya di Jalan Duta, tiga unit kondominium mewah di Pavilion Residences dan sebuah banglo yang tidak berpenghuni di Precint 10 Putrajaya.

Mereka berjaya merampas wang tunai berjumlah RM114 juta dalam pelbagai mata wang serta 284 kotak mengandungi beg tangan mewah, barangan kemas dan jam tangan dari serbuan di Pavilion.

Sementara itu, polis masih menilai barangan yang dirampas dari serbuan lain.

Rampasan dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan penglibatan Najib dalam penyalahgunaan wang dari 1MDB. - Malaysiakini