Pemilihan Parti UMNO Tahun Ini Bakal Tentukan Hidup Mati Parti Itu.


Dengan kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, parti Umno yang merupakan tonggak utama gabungan yang memerintah lebih 61 tahun itu dilihat perlu membuat keputusan penting yang akan menentukan keberlangsungannya dalam politik negara.

Selain bagi menentukan hala tuju parti itu, pemilihan kali ini juga akan menjadi titik tolak peranan baru Umno sebagai pembangkang.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ini memberi kebenaran kepada Umno untuk menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi selewat-lewatnya sebelum 19 April 2019.

Namun, Umno dilihat bimbang dengan risiko kemungkinan diharamkan dan mempercepatkan pemilihan pimpinan bagi penggal 2018-2021 itu.

Ia susulan tindakan 16 anggota parti itu dari lima negeri pada 20 April lalu memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mengisytihar pembubaran Umno selepas gagal mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.

Menyedari mereka kini akan duduk di kerusi pembangkang dalam Dewan Rakyat, Umno nampaknya melanggar 'tradisi' mereka menjelang pemilihan kali ini.

Sudah tentu, paling ketara adalah apabila semua jawatan tertingginya termasuk Presiden, Timbalan, Naib-naib dan ketua sayap dipertandingkan.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila terdapat usul agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dicabar sekali gus mengekalkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden.

Bagaimanapun, jawatan presiden Umno ketika ini dipangku Ahmad Zahid selepas Najib melepaskan jawatan itu, selain jawatan pengerusi BN, selepas gagal membawa BN memenangi kerusi parlimen yang cukup untuk kekal di Putrajaya.

Hilang kepercayaan

Pada mulanya, terdapat seruan daripada Ketua Umno Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam supaya tiga jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun ia tidak dipersetujui oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dan mahu jawatan itu dipertandingkan.

Khairy berkata budaya itu perlu dihentikan kerana ia dilihat antara penyebab masyarakat hilang kepercayaan terhadap Umno, selain punca kekalahan pada PRU lepas.

Dalam menegaskan perkara itu, Khairy menyifatkan bahawa pemilihan kali ini sebagai bukan untuk berebut jawatan, namun sebaliknya memilih 'pejuang sebenar'.

Dalam masa yang sama kedudukan Zahid dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilihat tidak selamat apabila pemimpin Umno kini tidak lagi menikmati kelebihan seperti pemimpin terdahulu.

Ketua pembangkang DUN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata padang persaingan dalam pemilihan Umno akan datang sudah menjadi sama rata - dan satu-satunya faktor penentu mungkin 'beban' yang digalas seseorang pemimpin ketika era pentadbiran BN.

Selain itu, katanya satu lagi faktor yang perlu ditimbangkan adalah Najib tidak menamakan atau mendidik sesiapa untuk menjadi penggantinya.

Personaliti bersih

Satu lagi perbezaan yang ketara yang dapat dilihat pada pemilihan kali ini ialah amalan konsep terbuka tanpa perlu melalui pihak yang lain.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mana-mana individu tidak perlu mencalonkan seseorang calon itu sebaliknya mereka boleh menawarkan diri mereka sendiri.

Pendaftaran atas talian yang dibuka mulai semalam sehingga 17 Jun ini juga dibuka kepada mana-mana kepimpinan dan ahli Umno yang berhasrat menawarkan diri untuk menjadi presiden parti itu.

Personaliti yang dianggap bersih untuk merebut jawatan tertinggi parti itu ialah Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Malah, Mustapa sendiri menerima desakan sekumpulan anak muda Kelantan untuk bertanding jawatan itu pada pemilihan akan datang.

Jika Mustapa keberatan berbuat demikian, mereka berharap agar beliau sekurang-kurangnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Untuk rekod, setakat ini hanya Zahid yang ingin bertanding jawatan presiden, dengan beberapa pemimpin lain bertanding timbalan dan naib.

Jika ia berterusan dan Zahid tiada pencabar, hasrat ramai pihak ingin melihat Umno diketuai pemimpin baru mungkin tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, masih awal untuk membuat kesimpulan kerana tempoh pencalonan belum tamat.

Majlis Tertinggi Umno telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan Umno dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri Umno bermula pada 19 Mei 2018 (Sabtu) sehingga 10 Jun (Ahad) 2018.

Mesyuarat Umno di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 (Sabtu) dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat.

Berikut merupakan antara nama yang sah bertanding:

Presiden: Ahmad Zahid Hamidi (kini pemangku presiden)

Timbalan Presiden: Datuk Seri Mohamad Hasan (kini MT Umno)

Naib Presiden: Khairy Jamaluddin (kini Ketua Pemuda), dan Datuk Johari Abd Ghani (kini MT Umno).

Ketua Pemuda: Khairul Azwan Harun (kini MT Umno), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki (kini MT Umno).

Naib Presiden: Shahril Sufian Hamdan (kini Exco Pemuda Umno). - Malaysiakini