Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan terbuka menghina, memperlekeh, menghasut dan mempengaruhi rakyat membenci raja-raja Melayu.
“Apa yang lebih mendukacitakan adalah kerana hasutan bagi membenci raja-raja Melayu ini dilakukan oleh segelintir orang-orang Melayu sendiri,” titah baginda dalam majlis berbuka puasa bersama rakyat di Klang hari ini.
Baginda tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkannya itu tetapi ia dibuat selepas polis menyiasat pemimpin pusat BERSATU Datuk Abdul Kadir Jasin dan aktivis Hishamuddin Rais bawah Akta Hasutan 1948.
Mereka didakwa mendedahkan dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM256.9 juta dalam tempoh 16 bulan sehingga April tahun ini.
Hishammuddin telah membuat laporan polis balas mendakwa blognya telah digodam.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin juga menegaskan institusi raja berperanan mempertahankan kedudukan orang-orang Melayu dan agama Islam serta kaum-kaum lain di negara ini.
“Penularan budaya ini di kalangan pihak-pijak tertentu perlu segera dihentikan agar rakyat tidak terus dihasut membenci raja-raja Melayu sehingga mengakibatkan taat setia rakyat kepada raja-raja Melayu terhakis,” titah baginda.
Semalam Aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di blognya, hadir di Balai Polis Sri Petaling di sini bagi memberi keterangan malam ini.
Peguamnya, Zaid Malek, mengesahkan perkara itu.
"Ya betul. Saya akan mengeluarkan kenyataan setelah proses ini selesai," katanya.
Difahamkan, Zaid menemani Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira 10.30 malam ini setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.
Hari ini, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Sultan Muhammad V di blognya, semalam.
Hishamuddin didakwa memuat naik artikel itu di blognya www.tukartiub.blogspot.com.
Bagaimanapun, Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial.
Sementara itu dalam laporan polis yang dibuat, Hishamuddin menafikan tuduhan berkenaan kerana blog berkenaan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia (SKMM)
Beliau percaya blog berkenaan digodam bertujuan untuk memfitnahnya.
Termasuk Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin di dalam blog peribadinya mengenai perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V disifatkan sebagai satu penghinaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penghinaan ini tidak sepatutnya dilakukan kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada pemimpin negara.
"Setiap orang mempunyai maruah dan kita tidak sepatutnya menghina antara satu sama lain.
"Kalau ada kesilapan kita tegur dengan cara penuh berhemah dan bertata susila," katanya ketika ditemui selepas program World #QuranHour (WQH) di Masjid Al- Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini hari ini.
Menerusi catatan blog peribadinya, Kadir mendakwa Sultan Muhammad V membelanjakan kira-kira RM257 juta dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.
Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak terjejas