Synergy Promenade saman Shahrir Samad RM100j Isu Tanah Felda.




KUALA LUMPUR - Pemaju projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak.

Saman itu difailkan Synergy Promenade Sdn Bhd selaku plaintif melalui firma guaman Tetuan Reza Rahim dan Rajivan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Shahrir sebagai defendan.

Saman atas kapasiti peribadi itu dikemukakan susulan beberapa kenyataan yang dibuat Shahrir antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan di beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu menyebabkan imej mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek-projek yang sedang diusahakan.

“Tindakan defendan juga memberi gambaran defendan melakukan jenayah terhadap Felda,” dakwanya.

Sehubungan itu plaintif menuntut satu perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan tersebut selain menuntut defendan mengemukakan kenyataan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui plaintif dan akan disiarkan dalam lima akhbar nasional.

Defendan turut dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta serta memberi aku janji untuk tidak mengulangi kenyataan itu serta ganti rugi am, faedah, kos dan relief lain yang sesuai.

Hadir bagi pihak Synergy, Pengarah Urusan dan pembangunan, Datuk Marina Hashim dan peguam, Rajivan Nambiar.

Synergy Promenade didaftarkan pada 16 Jun 2000 dengan aktivitinya dicatatkan sebagai pemaju hartanah dan kontraktor binaan, kontraktor am dan perniagaan am. - Sinar Harian