Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor Berkenan Kerusi Presiden FAS


Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata Tengku Amir Shah bertitah bahawa FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan arena bola sepak negeri Selangor.

“Baginda menekankan bahawa ini bukannya masa untuk mengadu domba ataupun mencari kesalahan lampau.

“Baginda sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi dan fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta pasukan bola sepak Selangor terus mara ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Munir berkata Tengku Amir Shah menitahkan rakyat untuk bersama-sama menyokong penuh pembaharuan yang akan dilakukan baginda apabila menerajui FAS nanti.

Mohamad Munir berkata baginda yakin pasukan kesayangan rakyat Selangor ini akan dapat mencapai kegemilangan lebih cemerlang pada masa akan datang.

Sebelum ini, bekas pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ibrahim dilapor mengesahkan Tengku Amir Shah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden FAS yang baru pada Julai ini.

Baginda, yang juga Penaung Diraja FAS, bakal menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang secara rasmi melepaskan jawatan itu pada 3 Julai ini.

Media sebelum ini melaporkan Subahan yang dipilih sebagai Presiden FAS pada Februari tahun lalu, memutuskan untuk melepaskan jawatan nombor satu persatuan itu berikutan bebanan tugas kerana turut memikul tanggungjawab sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Pemilihan Tengku Amir Shah sebagai Presiden FAS yang baharu dijangka mengembalikan harapan penyokong skuad Red Giants untuk melihat pasukan mereka kembali beraksi di Stadium Shah Alam. -Bernama