Tok Mad Bertanding Jawatan Timbalan Presiden UMNO.


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, keputusan berkenaan diambil selepas berfikir panjang sama ada mahu meneruskan perjuangan parti atau bersara terus dari bidang politik.

"Banyak juga desakan dan sokongan supaya saya bertanding jawatan Presiden, tetapi apabila difikirkan semula keupayaan, biar saya bertanding jawatan ini sahaja supaya dapat membantu Presiden yang akan dipilih nanti.

"Saya harap tiada pihak yang akan salah tafsir tindakan saya ini kerana niat saya hanya mahu berbakti kepada parti dan masyarakat di kala parti ini sedang dalam keadaan tenggelam ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Khatam Tadarus al-Quran Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI) di bangunan NSWO di sini, hari ini.

Mohamad berkata, jika berkesempatan beliau akan mengisi borang pencalonan itu malam ini dan menghantar menerusi dalam talian.

Sebelum ini spekulasi ada mendakwa Hishammuddin akan berundur sepenuhnya daripada politik.

Sumber memberitahu anak perdana menteri ketiga itu dikatakan akan menolak untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan dalam Umno semasa parti itu mengadakan pemilihan tidak lama lagi.

Ia termasuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Sebelum parlimen dibubarkan Hishammuddin, 56, bertugas sebagai menteri pertahanan. Apabila Najib melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno, Hishammuddin kemudian menjalankan tugas timbalan presiden Umno.

Seorang pemerhati politik yang dekat dengan Umno pula berkata, dia tidak terkejut jika Hishammuddin enggan bertanding dalam pemilihan akan datang.

"Saya tidak pernah melihat beliau bercita-cita terlalu tinggi.

"Tambahan pula sekarang Umno tidak menjadi kerajaan, dan ada kemungkinan dia masih penat dan kecewa," katanya.

Kekalahan Umno di peringkat pusat untuk kali pertama dalam sejarah mendorong pelbagai pihak menggesa agar parti itu mempertandingkan semua jawatannya.

Sebelum ini biasanya jawatan presiden tidak ditandingi atas alasan persefahaman dan mengelak perpecahan dalam parti.

Selain itu dengan pengunduran Najib, sejumlah nama disebut-sebut layak mengisi kekosongan jawatan tertinggi parti, termasuk Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapha Mohamed, bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Gani dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mesyuarat cawangan Umno sudah bermula sejak 19 Mei lalu sehingga 10 Jun sebelum mesyuarat peringkat bahagian pula diadakan berikutnya.

Pencalonan untuk jawatan Majlis Tertinggi Umno perlu diserahkan kepada ibu pejabat parti itu antara 1 Jun hingga 17 Jun.

Bagaimanapun tarikh persidangan Umno dan pemilihannya belum diumumkan.