Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menyatakan hasrat memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun, menegaskan bahawa kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha mengembalikan kekayaan dan menyelamatkan ekonomi negara dalam tempoh berkenaan.
Namun, pada masa sama, perdana menteri berkata dua tahun itu bukanlah satu tempoh masa tetapi lebih kepada satu cadangan yang mungkin boleh dicapai lebih awal atau lewat, tertakluk kepada keadaan.
"Kalau boleh, dalam masa terdekat, saya mahu atasi masalah-masalah yang dihadapi. Itulah keutamaan saya.
"Keutamaan itu adalah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara menjadi sebuah negara yang berupaya.
"Kalau saya berjaya, bukan duit yang penting. Yang penting ialah (kepuasan) hasil kerja atau "job satisfaction". Jadi inilah yang sedang saya usahakan," kata beliau dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana, baru-baru ini.
Temu bual itu antara lainnya mengupas peranan Pakatan Harapan dalam memperbaiki kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu, fokus terhadap usaha mengurangkan hutang negara, menjaga hubungan dengan institusi diraja dan fokus utama Dr Mahathir bagi menerajui kerajaan hari ini.
Menyentuh mengenai hutang negara sebanyak RM1 trilion, Dr Mahathir berkata sesebuah negara itu tidak sepatutnya berhutang lebih daripada kemampuan dan berasa hairan bagaimana kerajaan terdahulu boleh berbuat sedemikian.
Antara tindakan yang diambil kerajaan sebelum ini adalah mengumpulkan sejumlah besar pinjaman dari negara lain, bank asing pada kadar faedah yang tinggi serta daripada sumber-sumber tempatan.
Justeru, tegas Dr Mahathir, perkara utama yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang yang di bawah pimpinan Pakatan Harapan adalah memastikan bahawa pinjaman itu dapat dibayar.
Malah, atas dasar itu, Pakatan Harapan telah bertekad untuk mengurangkan hutang selain mencari jalan untuk menyelesaikannya.
"Sebab itu kita bukan nak belanja lagi. Kita nak kurangkan. Kalau kita nak bayar, kita perlu cari jalan. Bukan cara pinjam duit untuk membayar, sebab negara tidak patut berhutang lebih daripada kemampuannya. Kita belanja setakat kita mampu sahaja," katanya.
Perdana Menteri menegaskan, itu merupakan alasan mengapa aspek kewangan perlu dijaga supaya tidak terlibat dengan hutang.
"Macam (berhutang dengan) Ah Long, kalau kita tak bayar, dia pukul kita. Ini pun serupa juga, jika kita tak bayar, dia (pihak yang memberi pinjaman) pukul kita tetapi lebih kepada kata-kata "saya bankrapkan kamu," kata perdana menteri. - BERNAMA