Sebaliknya beliau berkata, apa yang dilakukan itu termasuklah menggubal undang-undang bagi menubuhkan Mahkamah Khas Raja-Raja. hanyalah mahu mengelakkan daripada raja-raja menimbulkan rasa marah rakyat sehingga rakyat memberontak.
"Kita kena jaga, raja janganlah terlibat dengan benda-benda yang rakyat tidak suka. Rakyat tiada kuasa, tetapi bila dia dah marah, dia akan memberontak. Jangan jadi macam ini.
"Jadi kita kena elak raja dengan kebesarannya itu supaya tidak tercemar. Saya bukan menolak raja-raja tetapi saya berpendapat bahawa kalau raja buat sesuatu yang salah, patutlah kita ambil tindakan iaitu menyelamatkan raja.
"Macam kita ada undang-undang yang kita gubal sehingga tertubuhnya mahkamah khusus untuk raja-raja," katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar Sinar Harian hari ini.
Dr Mahathir dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam ditanya tentang usaha dilakukan beliau untuk menjamin hubungan baik antara raja, pentadbir negara dan rakyat.
Pada 1993, Parlimen telah meminda Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kekebalan raja-raja Melayu. Melalui pindaan itu, Mahkamah Khas Raja-Raja ditubuhkan dan berkuat kuasa pada 30 Mac 1993.
Berhubung kelewatan angkat sumpah sebagai perdana menteri, Dr Mahathir menjelaskan, raja-raja perlu mematuhi undang-undang dan Perlembagaan Negara.
"Perkara macam itu tidak harus berlaku. Kita ada undang-undang. Kita ada perlembagaan. Kita kena akur kepada undang-undang. Kita nak kembali kepada 'the rule of law' (kedaulatan undang-undang). Apabila sesuatu yang berlaku tidak mengikut undang-undang, maka akan menimbulkan kemarahan.
"Tetapi saya fikir raja-raja sedar kerana ramai raja-raja yang berusaha supaya mereka semua dan Agong patuh kepada undang-undang.
"Sebenarnya majoriti raja-raja tidak bersetuju kalau dilewat-lewatkan pelantikan itu. Ada yang datang jumpa saya, ada yang cuba meredakan keadaan, termasuk kelewatan saya angkat sumpah dan juga soal pelantikan Peguam Negara. Dan ini sudah diselesaikan atas nasihat raja-raja sendiri," katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar itu.
Berkenaan pertemuan dengan Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menemuinya baru-baru ini, Dr Mahathir berkata ia adalah bagi mendapatkan nasihat berhubung apa yang berlaku dalam UMNO sehingga parti itu ditolak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.
"Dia (Zahid) ingin tahu cara macam mana nak uruskan UMNO. Jadi saya berterus terang bahawa UMNO sudah mengkhianati orang Melayu. Saya ingatkan kepadanya, kita tubuh UMNO untuk tolong orang Melayu tetapi kini UMNO berubah dan mengutamakan kekayaan diri.
"Sebab itu UMNO dibenci sekarang ini. UMNO nak pulih susah. Dulu dipandang mulia sekarang dipandang jijik," katanya seperti dipetik akhbar tersebut.
Pertemuan itu merupakan pertemuan rasmi pertama antara Ahmad Zahid dan Dr Mahathir selepas BN tewas dalam PRU14 pada 9 Mei lepas.
Menurut akhbar itu lagi, Dr Mahathir ketika ditanya apakah nasihat yang diberikan kepada Ahmad Zahid, beliau hanya berkata; "Saya kata dia fikir sajalah apa yang saya katakan".
Ditanya apakah Ahmad Zahid berjumpa dengan beliau untuk menyertai Pakatan Harapan, Dr Mahathir hanya ketawa.
"Kita tidak pandang sesiapapun nak masuk Pakatan Harapan terutamanya Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Kalau orang itu orang politik, dia perlu putus hubungan dengan partinya, menjadi bebas dan ikrar sokong kerajaan," katanya.
Pada PRU14, BN memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi dipertandingkan.- BERNAMA