Umno Perlu Pemimpin Seperti Tun Dr Mahathir


Untuk kembali berkuasa, Umno perlukan watak-watak yang kuat dalam kepemimpinannya, kata seorang pemimpin parti itu di peringkat bahagian.

Menurut Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee satu contoh yang baik mengenai pemimpin berperwatakan kuat ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mengetuai Umno selama lebih dua dekad.

Ditanya sama ada Umno mempunyai pemimpin seperti itu, Syed Ali berkata: "Setakat yang saya tahu, tak ada."

Dalam temu bual bersama Malaysiakini ketua Umno Cheras itu bagaimanapun berkata parti itu masih memiliki pemimpin yang mempunyai watak yang kuat.

Antaranya kata Syed Ali ialah naib presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketua pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan anggota majlis tertinggi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Percaya perwatakan yang kuat sangat penting bagi Umno menjadi kuat kembali Syed Ali berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil langkah yang giat bagi mempersiapkan pemimpin mereka.

Benarkan mereka bersuara

"Ada ramai yang boleh bercakap dan berdebat. Itu saya kagum pada mereka.

"Mengapa? Sebab kamu berikan mereka kebebasan, kamu tidak mengawal mereka dan benarkan mereka bersuara.

"Sudah tentu mereka ada buat silap, tetapi ini perkara biasa kerana manusia memang membuat kesilapan.

"Berikan mereka peluang dan benarkan mereka bersuara," katanya.

Untuk kali pertama Umno kehilangan kuasa apabila ditumpaskan oleh HARAPAN yang dianggotai PKR, DAP, AMANAH serta BERSATU pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Ekoran kekalahan itu presidennya Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dan wujud desakan di peringkat bawahan supaya barisan kepemimpinan parti itu dipertandingkan.

Sebelum ini lazimnya dua jawatan tertinggi parti - presiden dan timbalan presiden - tidak dipertandingkan, antara lain atas alasan mahu mengelak perpecahan.

Umno bakal mengadakan pemilihan barisan kepemimpinan baru pada tarikh yang belum ditetapkan, namun mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian sedang berlangsung sehingga akhir bulan ini.

Mesyuarat itu penting kerana nama-nama pemimpin untuk jawatan tertinggi parti akan dicalonkan. Pendaftaran calon melalui dalam talian juga sedang dibuka sehingga 17 Jun ini.

Parti tak kuat

Setakat ini hanya beberapa kerat pemimpin mengumumkan hasrat masing-masing untuk bertanding jawatan tertinggi.

Ahmad Zahid misalnya menyatakan minat untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Najib, manakala bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan mahu bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Dikatakan pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah juga mungkin menawarkan diri bertanding bagi jawatan presiden.

Khairy Jamaluddin pula berminat merebut salah satu daripada tiga tempat sebagai naib presiden.

Tidak terkecuali dikaitkan dengan persaingan jawatan penting nanti ialah bekas menteri Datuk Seri Mustapha Mohamed, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Syed Ali bagi peringkat Cheras beliau dan anggota Umno di bahagian berkenaan akan meneliti calon-calon yang berpotensi sebelum menentukan pilihan akhir.

Beliau yang juga setiausaha Umno Wilayah Persekutuan menambah ada kemungkinan calon yang bertanding akan membentuk kumpulan bagi menghadapi saingan namun menasihati mereka agar tidak berbuat demikian.

"Kami pernah melakukan ini untuk tempoh agak lama. Tolong bertanding atas kemampuan sendiri dan biarkan anggota parti pilih," katanya.

Menurut Syed Ali beliau juga akan menasihati anggota Umno Cheras supaya tidak mengundi secara bebas dan bukan terikat kepada mana-mana kumpulan yang dibentuk.

"Membentuk kumpulan mungkin akan memecah-belahkan parti. Parti tidak akan menjadi kuat," katanya. - Malaysiakini