Seorang wanita Israel yang tinggal di Wisconsin dan bertanggungjawab melatih bakal anggota kumpulan militan Daesh berhubung pembuatan bom, racun dan jaket bunuh diri ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat, semalam.
Wanita berkenaan, Waheba Issa Dais, 45 turut dikenakan pertuduhan membekalkan bahan menyokong aktiviti Daesh ketika ditahan di Cudahy, Wisconsin.
Suspek dipercayai individu pertama ditahan dalam tempoh enam bulan di bawah pertuduhan menyokong pasukan pengganas.
Dais, seorang penduduk sah AS sejak 1992 menggunakan beberapa akaun media sosial termasuk akaun yang digodam dari individu lain bagi mempromosikan beberapa aktiviti Daesh, termasuk merekrut anggota baru.
Wanita itu bertanggungjawab mengendalikan perpustakaan digital yang mengajar teknik pembuatan bom, senjata biologi, racun dan jaket bunuh diri bagi membantu militan Daesh menjalankan serangan.
Dia turut mengajar seorang individu yang juga pemberi maklumat pihak berkuasa berhubung kaedah pembuatan racun risin dan menyarankan bahan berkenaan diletak ke dalam pusat penyimpanan air atau bangunan kerajaan.
Suspek juga terbabit menyarankan beberapa lokasi untuk serangan bom yang mencakupi satu festival dan acara sambutan musim panas. - Berita Harian Online