Gambar Najib Di Kubur Cina, Penang Front Party Buat Laporan Polis


Penang Front Party (PFP) hari ini membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa menghina bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan menyunting gambar beliau dengan berlatar belakang kubur Cina di Facebook.

Ketua Pemuda PFP Teoh Kean Liang berkata perbuatan itu dilihat sebagai tidak bermoral dan biadap serta satu contoh buruk yang ditunjukkan netizen terhadap bekas perdana menteri itu.

"Saya dari pada kaum Cina, saya sendiri tidak dapat menerima perbuatan seumpama itu yang dilihat boleh mencetuskan isu perkauman serta menyinggung penganut agama lain.


"Kami memandang serius perbuatan ini yang dilihat cuba menjatuhkan imej bekas perdana menteri itu, kita sudah diajar tentang pendidikan moral di sekolah dan mesti menghormati semua kaum tanpa mengira latar belakang," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di George Town.

Jumaat lalu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik gambar Najib yang disunting berlatarkan kubur Cina serta wang kertas untuk orang mati, perbuatan itu disifatkan sebagai memberi maksud yang Najib sudah mati dan dikuburkan di situ.

Teoh berkata pihaknya turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun itu. - Bernama