Isu Zakir Naik, Saya Minta Maaf, Saya Masih Belajar Jadi Menteri - Kulasegaran


Kerajaan Malaysia setakat ini belum mendapat sebarang pengesahan mengenai permohonan untuk mengekstradisi penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran menegaskan perkara itu berdasarkan mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

Ditanya mengenai laporan portal Malaysiakini semalam yang mengatakan permohonan rasmi itu sudah dibuat kerajaan India Januari tahun lalu, beliau mengatakan tidak mengetahui mengenainya.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu (permohonan rasmi) dan saya tidak boleh komen lebih mengenai isu ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Besar Ipoh, di sini hari ini.

Menurutnya, apa yang beliau tahu adalah setakat ini Kabinet memaklumkan tiada pengesahan adanya permohonan rasmi daripada kerajaan India untuk mengektradisi Zakir Naik.

"Lagipun isu ini bukanlah bidang kuasa kementerian saya untuk mengulas lanjut mengenainya.

"Komen saya mengenai isu ini sebelum ini apabila saya fikirkan semula ia patut dijawab oleh menteri lain, kadang-kadang saya terlebih komen satu dua perkara itu saya minta maaf, saya masih belajar (jadi menteri), jadi lebih baik isu ini ditanya kepada kementerian yang berkenaan," katanya.

Sebelum ini Anggota Parlimen DAP itu berkata Isu Zakir Naik sebaik sahaja kerajaan India membuat permintaan pengusiran, Putrajaya akan mematuhi undang-undang.

Intinya ialah kerajaan India mesti membuat permintaan itu.

Bagaimanapun kenyataan Kulasegaran itu bercanggah dengan pendirian Dr Mahathir sebelum ini yang mengatakan kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan untuk menghantar pulang Zakir ke India.

Kulasegaran berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi sekiranya berkesempatan berkunjung ke negara itu.

Sebelum Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan, anggota parlimen DAP itu lantang mengkritik keputusan kerajaan BN memberikan status Penduduk Tetap kepada Zakir dan menuntut penceramah itu diusir.

Minggu lalu, media India melaporkan Kementerian Hal Ehwal Luar republik itu telah membuat permintaan rasmi kepada Putrajaya agar Zakir dihantar pulang.