Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang merupakan Bekas Menteri Besar Perak, memuji tindakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjadi bualan selepas mengutip sampah di stadium, semalam.
Katanya, situasi sama pernah dialaminya dahulu malah dituduh mencari publisiti murahan.
“Tahniah Syed Saddiq tunjuk contoh yang baik. Jangan peduli cacian. Teruskan tunjuk sikap yang baik dan boleh dicontohi untuk negara yang bersih.
“Dulu saya kutip sampah di Perak, ada pemimpin parti maki dan kutuk saya kononnya mencari publisiti murahan,” tulisnya di laman Twitter, hari ini.
Malam tadi, Syed Saddiq membuat kejutan sebaik tamat perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dengan Pahang di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur apabila mengutip sampah yang ditinggalkan oleh penyokong di tempat duduk.
Tindakan itu dirakam dan mula tular di media sosial seperti Facebook dan Twitter.
Melalui laman Twitter, Syed Saddiq menjawab dakwaan beliau berlakon berlebihan demi menarik perhatian rakyat.
“Saya pantang kalau nampak orang buang sampah merata-rata. Bagi mereka yang mengenali saya, ini bukan ‘one-off’.
“Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip.Biar dia malu dan tak akan buat lagi. Dari[pada fikir negatif, kenapa tidak kita mula buat benda yang sama,” katanya.
Sebelum ini Syed Saddiq menunjukkan contoh terbaik buat seluruh penyokong bola sepak tanah air apabila bertindak mengutip sampah di bangku penonton selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Syed Saddiq yang memakai jersi Harimau Malaya sedang memasukkan sampah yang ditinggalkan di bangku penonton ke dalam plastik hitam turut tular di media sosial.
Pelbagai pihak turut memuji tindakan beliau dan menularkan gambar berkenaan termasuk ketua jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
"Satu contoh yang terbaik ditunjukkan Menteri Belia dan Sukan kita yang baharu," jelas Dharma di ruangan Facebook miliknya berserta gambar Syed Saddiq yang sedang mengutip sampah di SNBJ.
Sebelum ini, tindakan penyokong Jepun mengutip sampah di dalam stadium setiap kali selepas aksi pasukan mereka di Piala Dunia Russia 2018 turut mendapat perhatian dunia.
Justeru, tindakan Syed Saddiq seharusnya dijadikan contoh buat seluruh rakyat Malaysia dan bukan sahaja bagi peminat bola sepak, malah juga untuk semua peminat sukan lain. - Sinar Harian