Rosma Tidak Tuntut Barang Kemas Yang Dirampas Polis - Fuzi


Ketua Polis Tan Sri Mohamad Fuzi Harun belum menerima permohonan dari Rosmah untuk memulangkan barang kemas yang dirampas dari serbuan berhubung siasatan 1MDB.

Menurut laporan Malaysiakini, Fuzi berkata, polis belum menerima sebarang permohonan daripada isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi memulangkan barang kemas yang dirampas itu.

Katanya lagi, Rosmah mempunyai hak untuk memohon pihak berkuasa memulangkan barangan yang dirampas meskipun ia mungkin sukar kerana barangan itu diperlukan dalam siasatan.

"Ada prosedur perundangan yang dia kena ikut. Itu hak dia utk mohon, (tapi) barang-barang itu ada kaitan dengan siasatan.

"Saya mengikuti siasatan setiap hari dan setakat ini, tiada sebarang permohonan daripada Rosmah atau sesiapa (bagi memulangkan barang yang dirampas)," kata Fuzi dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Seorang tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah bulan lalu berhubung penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari sebelum dirampas polis pada Mei.

Sementara itu, mengulas berhubung dakwaan suami Rosmah, Datuk Seri Najib Razak bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh tidak mengikut prosedur piawai (SOP) dalam serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, FUzi berkata Najib boleh katakan apa saja yang dia mahu.

"Itu dia cakap. Macam-macam dia boleh cakap. Biar nak cakap apa pun, kita ikut proses undang-undang. Kita tunggu sahaja," katanya.

Najib sebelum ini dilaporkan menyaman tiga individu yang menurutnya prejudis terhadapnya dalam siasatan 1MDB.

Tiga individu itu ialah Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Amar Singh

Sebelum ini tukang emas dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bulan lalu atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, dan dirampas oleh polis pada Mei.

Dalam dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, Global Royalty Trading SAL memfailkan saman terhadap isteri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Dalam pernyataan tuntutannya, firma yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa Rosmah adalah pelanggan lama, dan syarikat itu juga menjual barangan kemas di seluruh dunia, termasuk kepada keluarga diraja.

Global Royalty mendakwa seperti pada tahun-tahun sebelumnya, firma itu akan menghantar barangan kemas kepada Rosmah mengikut permintaannya untuk dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

Firma itu berkata barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan.

Global Royalty mendakwa bahawa ada kalanya, Rosmah akan meminjam barang kemas itu, dan dia atau ejennya akan menerima barangan berkenaan di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Firma itu mendakwa bahawa memorandum penyerahan akan mengiringi hantaran atau konsainan barangan kemas, yang menerangkan terma dan syarat. - Malaysiakini