Saya Mungkin Dah Mati Ketika Berusia 64 Tahun Kalau Tanpa Sains


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini merupakan ketua kerajaan tertua di dunia dan pada hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-93.

Bagaimanapun, Mahathir berkata beliau mungkin sudah meninggal dunia ketika beliau mengalami serangan jantung pertama pada tahun 1989 ketika berusia 64 tahun, jika bukan kerana kemajuan sains dalam bidang perubatan.

"Sebelum ada pakar bedah jantung, saya tidak akan bertahan. Saya akan meninggal dunia pada saat serangan jantung pertama itu.

"Sebelum ini, jika kamu membuka dada, kamu akan mati kerana paru-paru akan rosak," kata Mahathir dalam program Astro Awani yang turut menampilkan doktor yang mengetuai pasukan pakar bedah yang menyelamatkannya, Dr Yahya Awang.
 
Dr Yahya Awang
Negarawan dalam usia emas itu berkata mujurlah ada kemajuan sains perubatan seperti mesin jantung dan paru-paru yang membantunya terus bertahan untuk hidup.

'Tawaran suaka ke AS'

Yahya bergurau pada pagi pembedahan itu beliau ditawarkan suaka di Amerika Syarikat.

"Saya masih ingat, ahli kardiologi Amerika bersalaman dengan saya pada pagi pembedahan tersebut dan berkata Yahya jika kamu memerlukan suaka perubatan kamu boleh datang ke Amerika," katanya berselang-seli tawa.

Mahathir mendapat dua lagi serangan jantung pada tahun 2006 dan setahun kemudian menjalani pembedahan pintasan kuadrup.

Kesemua rawatan jantung Mahathir dan jangkitan dada seterusnya telah dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, selain kemajuan perubatan, Mahathir dan Yahya menyifatkan usia panjang perdana menteri disebabkan campuran faktor genetik dan disiplin.

Yahya berkata Mahathir telah mendengar nasihat doktornya, mengambil ubatnya dan selalu melakukan senaman.

Mahathir juga mengulangi nasihat ibunya untuk tidak makan terlalu banyak. - Malaysiakini