Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba untuk menghadiri mesyuarat pertama persidangan Dewan Rakyat.
Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 akan memulakan mesyuarat pertamanya hari ini, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.
Sidang bakal bermula pada jam 10 pagi ini dengan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Semalam, perdana menteri mengesahkan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamad Ariff Md Yunos akan dilantik memegang jawatan penting itu.
Selepas pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, urusan mesyuarat akan diteruskan dengan istiadat angkat sumpah anggota Parlimen, diketuai Dr Mahathir.
Dunia sanjung Mahathir letak jawatan Perdana Menteri pada 2003
Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003 dengan sanjungan datang mencurah-curah dari seluruh dunia.
Penghormatan disuarakan dalam lidah-lidah pengarang akhbar di Britain, Arab Saudi, Kenya, Singapura dan Indonesia.
``Sebagai tokoh yang kompleks, kehilangan yang akan dirasai ialah dari segi tenaga dan wawasan beliau tetapi bukan prejudis beliau,'' menurut lidah pengarang akhbar Guardian di London.
Dua stesen televisyen paling popular di dunia Arab, Al-Jazeera dan Al-Arabiya menyiarkan majlis penyerahan tugas Dr. Mahathir secara langsung hari ini.
``Sukar untuk membayangkan rantau ini tanpa beliau. Lebih tepat lagi, pentas dunia tanpa beliau,'' menurut lidah pengarang Straits Times di Singapura.
Lidah pengarang Business Times Singapura menyebut, Dr.Mahathir meninggalkan Malaysia satu kelas pertengahan Melayu yang kukuh dan lebih penting lagi, kestabilan sosial.
Akhbar itu menyebut mengenai kemajuan dalam membasmi kemiskinan yang banyak dicapai semasa pentadbiran Dr. Mahathir.
Akhbar Jakarta Post di Indonesia memuji Dr. Mahathir kerana membuktikan kepada dunia bahawa sebuah negara bukan Barat mampu mengendalikan peralihan kuasa secara teratur.- Malaysiakini