Video Aksi Tidak Senonoh, Safiey Illias Memohon Maaf.


Pengusaha kosmetik Safiey Illias tampil memohon maaf berhubung isu majlis rumah terbuka yang dianjurnya bagi meraikan anak yatim dan pelajar tahfiz yang didakwa dicemar dengan aksi tidak senonoh.

Melalui kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Safiey membuat permohonan maaf secara terbuka bagi mengelak perselisihan faham susulan klip video majlis itu yang tular baru-baru ini.

“Saya ingin memohon maaf kepada individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya di Instagram.

Dalam kenyataan itu, Safiey turut berazam untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan serta menasihati rakan-rakannya yang dilihat melampau batas.

“Ingin saya jelaskan di sini, bahawa saya tidak akan mengulangi perbuatan saya yang telah mengganggu sensitiviti masyarakat serta mencemarkan imej agama tercinta demi kebaikan bersama.

“Saya menerima segala teguran yang diberikan dengan hati yang terbuka. Saya juga akan mencuba sedaya upaya saya untuk menasihati teman-teman rapat saya, tidak hanya khusus kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sahaja, juga kepada rakan-rakan selebriti wanita dan juga lelaki yang dilihat melampaui batas untuk berubah ke arah kebaikan.

“Saya berazam dan berusaha untuk belajar dan tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang. Setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Hidup ini adalah untuk terus memberi dan memberi. Doakan saya, terima kasih,” katanya.

Acara di majlis rumah terbuka anjuran Safiey, 24, itu mengundang perhatian ramai termasuk pendakwah PU Amin apabila ia didakwa secara sengaja menyelitkan acara “gesel-gesel.”


Menyelar perbuatan tidak bermoral berkenaan, PU Amin (gambar) atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata pihak berkepentingan tidak wajar ‘bermodalkan’ anak-anak yatim dan tahfiz bagi melariskan atau memadam dosa-dosa pernah dibuat.

“Ya Rabb!! Selamatkan Kami Ya Allah!! Jangan lacurkan anak yatim dan anak tahfiz. Jangan gunakan mereka sebagai bahan istinjak untuk membuang najis yang kau buat.

“Mereka bukan bahan istinjak. Memanglah bila dijemput mereka akan datang , tapi apa kejadahnya ada benda benda ni?” soalnya.

PU Amin sebelum ini pernah menggesa Safiey memadamkan gambar dan klip video yang menunjukkan dia berpakaian seperti wanita hingga menampakkan bahagian punggungnya sewaktu menjalani sebuah sesi fotografi.

PU Amin yang terkenal kerana lantang memberi teguran kepada pengamal gejala songsang juga mula mencadangkan agar orang ramai memboikot produk keluaran Safiey supaya lelaki itu insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Safiey sebelum ini pernah mengubah persepsi ramai apabila berhijrah daripada penampilannya sebagai wanita kepada lelaki tetapi kemudian mengubah semula imej berkenaan.

Sementara itu, menerusi status berlainan, PU Amin berkata, dia telah membuat aduan ke atas golongan yang berbuat kemungkaran dalam agama kepada menteri agama, jabatan agama negeri, mufti negeri dan penguatkuasa negeri.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Islam Malaysia bakal mengambil tindakan dan membincangkan langkah terbaik untuk diberi sebagai pedoman kepada golongan LGBT.

“Kita kasi settle habis habis! Sebelum Allah SWT tanya kita di akhirat , kita buat kerja kita sungguh sungguh. Pada semua yang sebar, ikut dan doa, kita bersama bergerak menuju redha Allah. “Pada Allah kita berserah,” katanya.