Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menganggap kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa bekas perdana menteri itu lebih layak menjadi ketua pembangkang berbanding Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai satu provokasi politik yang nakal.
“Saya ucap terima kasih kepada Zahid kerana beri saya ruang untuk tanya soalan HSR (projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura) walaupun soalan asal datang dari beliau semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi tadi.
“Azmin dalam jawapan balas kata saya layak jadi ketua pembangkang apabila Zahid beri ruang tersebut. Pada saya, kenyataan Azmin adalah hanya satu provokasi politik yang nakal.
“Pembangkang dah putus dan terima Zahid sebagai ketua pembangkang dan saya menyokong keputusan tersebut,” katanya dalam satu catatan di Facebook.
Najib mengulas sindiran Azmin pada sidang Dewan Rakyat hari ini yang mengatakan dirinya lebih layak mengetuai pembangkang.
“Saya kira Pekan lagi layak jadi ketua pembangkang,” usiknya semasa sesi soal jawab.
Azmin berkata demikian selepas Zahid membenarkan Najib, bertanya soalan tambahan bagi pihaknya berkaitan projek HSR.
Situasi itu jarang berlaku dalam sidang Dewan Rakyat. Sebelum itu, Dewan mengumumkan Zahid sebagai ketua pembangkang.
Susulan kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum ke-14, Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN. - Malaysiakini