Kes 1MDB Polis Rakam Kenyataan Najib.


Polis hari ini merakamkan kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) 2001.

Akhbar Sinar Harian melaporkan ahli parlimen Pekan itu hadir di Menara 238 di Jalan Tun Razak, yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 10 pagi tadi, dan proses itu berlangsung kira-kira satu jam.

Awal bulan ini, Najib berdepan dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram di bawah Amla 2001, dan empat tuduhan lain terdahulu dipinda, berhubung dana RM42 juta milik SRC International yang berada dalam akaun peribadinya.

Tiga deposit itu, masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic miliknya antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Tiada pengakuan dicatatkan.

Di bawah pertuduhan tersebut, Najib berhadapan hukuman penjara 15 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda jumlah wang yang diubah, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, adalah dilaporkan bahawa 16 barangan termasuk barangan kemas, wang tunai, termasuk matawang asing dan beg tangan mewah, dirampas daripada enam hartanah yang dikaitkan dengan Najib, yang disiasat di bawah Amla 2001.