Pemandu bas RapidKL yang merempuh enam buah kenderaan di Jalan Ampang malam tadi kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, pemandu bas tersebut cuba melarikan diri namun orang ramai mengejarnya dan berjaya menangkap sebelum diserah kepada pihak polis.
Pemandu tersebut dikenali sebagai Md Khairol Anuar Mohamad, 32 tahun, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, yang cedera di bahagian kepala dan berada dalam keadaan separa sedar susulan kejadian itu.
Zulkefly berkata, kemalangan berlaku lebih kurang pukul 8.30 malam dan bas tersebut telah merempuh lima buah kereta berhampiran Ampang Point.
Ia dikatakan bergerak dalam keadaan melulu dan melanggar sebuah kereta Toyota Vios sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Innova.
Ia kemudiannya terus bergerak menghala ke susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan melanggar kereta Perodua Alza yang menyebabkan kereta tersebut melambung dan masuk ke dalam parit di kiri jalan.
Bas itu terus bergerak dan melanggar kereta Perodua Myvi sebelum melanggar sebuah kereta Proton Saga.
Menurut polis, sebelum kejadian di Jalan Ampang itu, bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan lain di persimpangan lampu isyarat AU Keramat.
Ia telah melanggar dua buah kereta dan melarikan diri menerusi Jalan Jelatek dan sampai ke tempat kejadian yang kedua.
Ujian saringan awal air kencing oleh Hospital Ampang terhadap pemandu bas terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Pemilik kenderaan yang rosak akibat dirempuh sebuah bas henti-henti milik RapidKL di Jalan Ampang semalam boleh membuat tuntutan ganti rugi.
“Ada beberapa prosedur yang perlu dibuat (oleh pemilik kenderaan) seperti hantar laporan polis. Pihak RapidKL akan bantu menyalurkan maklumat untuk proses tuntutan,” katanya pada sidang media di Depoh Maluri di ibunegara hari ini.
Mengulas lanjut insiden itu, beliau berkata pemandu bas laluan Datuk Keramat menuju Ampang Point itu telah berkhidmat sejak dua tahun lepas dan mempunyai rekod yang baik.
Ditanya adakah bas berkenaan mempunyai masalah teknikal, Shamsul Rizal berkata pihaknya perlu memeriksa bas itu terlebih dahulu. Mengikut SOP RapidKL, hanya bas yang berada dalam keadaan baik dibenarkan beroperasi.