Saya Pengsan Melihat Anak Perempuan Saya, Badannya Dipenuhi Tatu, Kesan Lecur Dan Dirogol


Rabat (Maghribi): “Saya pengsan ketika melihat keadaan anak saya. Badannya dipenuhi tatu, kesan lecur dan dirogol. Kenapa mereka tergamak melakukan perkara seperti itu?”

Begitu kata seorang ibu menceritakan reaksinya ketika anak perempuannya berusia 17 tahun kembali ke rumah selepas dua bulan dikurung, diseksa serta dirogol termasuk seluruh badannya dicacah tatu.

Al Jazeera melaporkan, Khadija Okkarou diculik dua lelaki yang bersenjatakan pisau ketika melawat ibu saudaranya pada Ramadan lalu sebelum dijual kepada sekumpulan lelaki.

Katanya, sepanjang tempoh diculik, lelaki itu sering memberinya dadah menyebabkan dia khayal.

“Mereka menyerang saya seorang demi seorang, mencucuh badan saya dengan rokok, tidak memberi saya makan atau membenarkan saya mandi,” katanya dalam temu bual dengan stesen televisyen Maghribi baru-baru ini.

Khadija akhirnya dilepaskan pada pertengahan Ogos apabila penculiknya mencampaknya di rumah keluarganya yang terletak berhampiran bandar Beni Melal.

Bagaimanapun, keluarganya pada waktu itu tidak membuat laporan polis kerana bimbang dengan stigma masyarakat terhadap mangsa rogol, lapor Daily Mail.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan penduduk di Maghribi yang mendesak pihak berkuasa menghentikan amalan membutakan mata kepada keganasan terhadap wanita.

Lebih 12,000 orang menandatangani petisyen mendesak kerajaan memberi bantuan perubatan dan psikologi terhadap remaja berkenaan, malah seorang artis tatu di negara jiran, Tunisia turut menawarkan khidmat membantunya membuang ukiran berkenaan dari badannya.

Sementara itu, peguam yang memantau kes berkenaan, Ibrahim Hashane memberitahu, 12 lelaki ditahan kerana menculik dan merogol mangsa, manakala tiga lagi suspek masih diburu. - Harian Metro