Terpedaya Dengan Sindiket Pakej Kahwin


Narathiwat (Selatan Thailand): “Kami terpaksa datang ke sini (Majlis Agama Islam Narathiwat) untuk berkahwin apabila perkahwinan sebelum ini tidak sah kerana kami menggunakan khidmat sindiket kahwin palsu.

“Kami sedar tertipu selepas melangsungkan majlis akad nikah di Rantau Panjang dan mereka (ahli sindiket) menghilangkan diri serta tidak memberi sijil perkahwinan selepas kami membayar RM2,000 seperti diminta,” kata lelaki hanya mahu dikenali sebagai Marzuki, 38, yang menjadi mangsa sindiket perkahwinan palsu, di sini.

Marzuki yang berasal dari Pahang berkata, dia bernasib baik apabila seorang kenalan yang memperkenalkannya kepada kadi dari Selatan Thailand sebelum dibawa ke Majlis Agama Islam Narathiwat untuk dinikahkan.

Ahli perniagaan yang ditemui di Majlis Agama Islam Narathiwat itu berkata, dia membuat keputusan untuk berkahwin di Selatan Thailand kerana tidak mendapat persetujuan wali.

Marzuki antara mangsa terpedaya dengan sindiket pakej kahwin sempadan melalui media sosial yang menyediakan tawaran menarik bagi mereka yang ‘berhajat’.

Sindiket itu menawarkan pelbagai pakej menarik daripada pengangkutan sehingga pakej penginapan.

Menurut pakej itu, dengan bayaran tertentu sehingga RM2,000, pasangan pengantin boleh mendapat sijil nikah dari Thailand.

Bagaimanapun, risiko bakal dihadapi pasangan sebaik saja mendaftar perkahwinan di Malaysia kelak sama ada sijil berkenaan sah atau sebaliknya.

Oleh sebab itu, kerajaan Malaysia menegaskan hanya beberapa lokasi dibenarkan berkahwin di Selatan Thailand.

Menurut laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2014, hanya enam majlis agama Islam wilayah di Thailand dibenarkan untuk berkahwin iaitu Satun, Songkla, Pattani, Narathiwat, Yala dan Patalong di Selatan Thailand dan tidak membabitkan cawangan lain termasuk di Betong, Thailand.

Peraturan itu dilakukan bagi mengelakkan pernikahan dilakukan jurunikah tidak bertauliah yang dikhuatiri tidak sah dari segi hukum syarak.

Sementara itu, satu lagi pasangan Malaysia yang ingin dikenali sebagai Amin dan Halizan yang berkahwin di Selatan Thailand bernasib baik kerana perkahwinan mereka tidak menghadapi masalah.

“Kami berkahwin lima tahun lalu di sebuah masjid dekat sempadan Kelantan/Thailand kerana kami menghadapi masalah ke Narathiwat untuk berkahwin.

“Saya adalah suami orang dan ingin berpoligami. Saya bayar saja kos diminta seorang runnerdan dia uruskan semua hal.

“Majlis akad nikah kami cukup mudah dan diadakan berdekatan Sungai Golok. Paling menarik, isteri pertama saya pun tidak tahu saya berpoligami. Malah, sehingga kini kami tidak menghadapi masalah dan saya mendapat sijil sah selepas itu,” katanya.

Pegawai kerajaan berusia 44 tahun berasal dari sebuah negeri di selatan itu berkata, kini dia dan isteri berasa lebih selamat selepas mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

“Ramai orang tak tahu. Semua ini (perkahwinan sempadan) sah asalkan ia mengikut undang-undang Malaysia,” katanya. - Harian Metro