Zuraida Nak Telanjangkan Isteri Saya - Abdullah Sani


Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, mendakwa Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, mengugut untuk ‘menghentam dan menelanjangkan’ isterinya, Datin Faezah Ariffin.

Abdullan Sani yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menggunakan seorang ahli PKR untuk menghantar ugutan kepada isterinya menerusi aplikasi WhatsApp, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Beliau mendakwa, ugutan itu dipercayai dibuat berikutan Faezah yang juga calon Naib Ketua Wanita PKR, mengkritik kepemimpinan Zuraida sebagai Ketua Wanita dalam satu majlis parti di Seremban, minggu lalu.

“Isteri saya membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja pada jam 9.16 malam tadi.

“Menerusi kiriman nota suara (voice note) WhatsApp, seorang lelaki (dipercayai pengikut Zuraida) sebut nama Zuraida.

“Antara lain, lelaki itu mendakwa ‘Kak Zu’ mengarahkannya menghentam dan ‘menelanjangkan’ (mendedahkan) Faezah.

“Itu lagi teruk, patut dia (Zuraida) kena tindakan disiplin, bukan saya. Saya tak perlu ugut orang. Saya penakut, tak berani ugut orang... saya jaga disiplin.

“Cakap dengan Zuraida, jaga diri sendiri, disiplinkan diri sendiri. Anda menteri, berperangailah seperti menteri. Jangan jadi macam budak-budak,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Abdullah Sani mendedahkan perkara itu ketika mengulas tindakan Zuraida mahu melaporkan kepada Biro Politik PKR bagi menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap calon pemilihan parti yang membuat serangan peribadi.

Pada 11 Ogos lalu, Faezah dilaporkan berkata, Zuraida didakwa tidak membawa banyak perubahan dalam PKR, sebaliknya menjadi punca pelbagai kepincangan sepanjang menerajui sayap parti itu.

Sementara itu, Zuraida yang ditemui di Lobi Parlimen, terkejut ketika diajukan soalan berkenaan.

Beliau yang juga calon Naib Presiden PKR, mendakwa tidak mengetahui mengenai dakwaan ugutan itu dan menafikan menghantar orang untuk ‘menelanjangkan’ Faezah.

“Saya rasa orang cakap itu dalam bahasa kiasan kot. Nak ‘telanjang’ tu nak dedahkan, bukan nak telanjangkan fizikal dia.

“Saya tak rasa begitu, tapi saya tak tahu apa-apa,” katanya yang menyokong laporan polis dibuat berhubung isu berkenaan. - Berita Harian Online