Ini Kisah Sebenar Ebit Lew Jumpa Marina.


PENDAKWAH yang tidak asing lagi, Ustaz Ebit Lew berkongsi di laman sosialnya tentang pertemuan dengan aktivis masyarakat, Datin Marina Mahathir.

Beliau turut melahirkan rasa sebak apabila dapat berjumpa dengan aktivis masyarakat itu dan dapat berkongsi pengalaman tentang usaha dakwah di negara ini.

Perkongsian itu turut mendapat 22,000 like dan telah dikongsi oleh lebih 7,000 pelayar.

“Beliau sangat baik mendengar dan sangat merendah diri, seronok dapat saling berkongsi.

“Walaupun (dalam) suasana agak bising, kami dapat berbual dekat dua jam. Jarang orang besar nak dengar saya cakap (berkaitan) agama sampai dua jam,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Menurut Ebit, Marina melahirkan rasa kagum dengan usahanya itu yang berusaha membimbing dan membantu golongan maknyah dan masyarakat gelandangan di negara ini biarpun dia berketurunan Cina.

Katanya, Marina ada memberitahunya bahawa ramai kalangan maknyah ingin mengerjakan solat cuma mereka perlu dibimbing.

“Halal itu jelas. Haram itu jelas. Dan usaha memujuk rayu manusia dengan kasih sayang dekat dengan ALLAH itulah kerja Nabi (S.A.W), itulah usaha kita sebagai insan,” kata Ebit Lew.

Ebit turut memberitahu bahawa pada Oktober nanti akan diadakan program motivasi bersama golongan maknyah.

“Saya akan bawa maknyah tiga hari dua malam Oktober ini untuk motivasi, solat berjemaah, qiamulail. Peranan solat dan usaha dakwah Nabi SAW. Islam itu indah,” kata beliau.

Dalam perkongsian itu lagi, Marina memberikan sokongan penuh usahanya memberi makanan kepada gelandangan kerana ia membuatkan orang ramai tertawan dengan Islam. - Sinar Harian