Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan notis mengarahkan penganjur Lavidacoin untuk menghentikan semua aktiviti promosi berkaitan LaVida Coin berkuat kuasa serta merta, sementara menunggu semakan lanjut oleh pengawal selia itu berhubung perkara tersebut.
“Pelabur diingatkan berhati-hati dan mengambil langkah wajar sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutamanya yang melibatkan mata wang kripto dan token digital,” menurut SC dalam kenyataan hari ini.
Katanya DSV Crypto Club, LUX Galaxies dan VI Profit Galaxy, yang didapati mempromosikan LaVida Coin, turut dimasukkan dalam Senarai Amaran Pelabur SC yang dipaparkan di www.sc.com.my.
Pada 29 Ogos, Bank Negara Malaysia (BNM) menyenaraikan VI Profit Galaxy (DSV Cryptoclub & LUX Galaxies), pengendali terbitan mata wang kripto LaVida Coin, dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan bank pusat itu.
Mata wang kripto itu dilancarkan oleh ratu kosmetik Datuk Seri Hasmizah Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida. -Bernama