TMJ Dedah Ada Pihak Tertentu Intip Baginda dan Sultan Johor


JOHOR BAHRU — Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendakwa baginda dan ayahandanya Sultan Johor “sedang diperhatikan” di laman media sosial.

Menulis dalam laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail mendakwa terdapat pihak tertentu menggunakan sistem risikan untuk memantau mereka.

Tunku Ismail mendakwa baginda ada individu yang berpesan agar memaklumkan perkara tersebut kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang telah menyampaikan pesan bahawa saya dan ayahanda saya, DYMM Sultan Johor sedang diperhatikan,” coret TMJ semalam.

“Ramai juga ‘cybertroopers’ diletakkan pada halaman JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan.”

Katanya teknologi buatan Isreal itu dimiliki kerajaan terdahulu untuk aktiviti pengintipan dan mengumpul data.

Malah ia turut diguna pakai ketika musim pilihan raya untuk perang siber namun katanya tidak sepatutnya diseleweng untuk kepentingan peribadi.

“Saya tahu ia diguna pakai oleh kerajaan dahulu, tetapi tidak sepatutnya berlaku di zaman Malaysia Baru ― tiada tempat untuk pengamalan sebegini kini,” katanya. – MalayMail