Dia Orang Memang Suka Saya Jadi Jahat


Selepas lama tidak beraksi di depan kamera, Rozita Che Wan tidak menyangka kemunculannya membawakan watak antagonis dalam drama, Lelaki Kiriman Tuhan menerima pujian ramai.

Menerusi drama arahan Rashid Sibir itu, Rozita yang mesra disapa Che Ta, melakonkan watak pembantu sebagai Kak Bed yang gemar menjalin hubungan dengan suami orang.

“Diikutkan, saya sendiri tidak suka dengan watak yang membawa aura negatif. Kak Bed digambarkan sebagai wanita yang suka menjalin hubungan dengan suami orang dan penonton kita pula agak sensitif dengan karakter seperti ini.

“Pernah dulu, saya dikecam teruk gara-gara membawa karakter wanita perampas. Sejak itu, saya agak berhati-hati sebelum menerima sesuatu watak.

“Namun, tawaran ini saya anggap sebagai cabaran untuk mempelbagaikan karakter. Tidak sangka pula penonton mengingati watak itu, meskipun saya hanya membawa peranan kecil,” katanya.

Kali terakhir berlakon kira-kira setahun lalu, Rozita berkata, dia menerima tawaran membintangi Lelaki Kiriman Tuhan kerana drama itu tidak memerlukan komitmen yang lama.

“Tambahan pula, saya ada sedikit kelapangan dan sudah biasa dengan cara kerja syarikat produksi, Zeel Production, jadi saya terima.

“Jika penggambaran memerlukan komitmen yang panjang, mungkin saya akan berfikir banyak kali kerana ketika ini, fokus utama saya adalah menguruskan keluarga dan perniagaan,” katanya.

Rozita berkata, sesekali apabila berpeluang kembali ke lokasi penggambaran, dia akan berusaha melunaskan amanah pengarah dan produksi dengan sebaik mungkin.

“Sebagai pelakon, saya perlu jadi versatil dan berani mengambil risiko supaya penonton dapat melihat perbezaan serta kematangan saya di lokasi penggambaran.

“Saya juga tidak keberatan membawa watak pembantu asalkan ia memberi kepuasan dan menguji kekuatan lakonan.

“Buat sementara waktu, saya lebih suka membawa watak kecil dan tidak memerlukan saya berada terlalu lama di lokasi penggambaran. Jika karakter diberikan bersesuaian, pasti saya tidak menolak,” katanya.

Lelaki Kiriman Tuhan diterajui Remy Ishak dan Mira Filzah mula disiarkan sejak 1 Oktober lalu, dibantu Talha Harith, Kartina Aziz, Harris Anuar dan Uyaina Arshad. - Berita Harian Online