Aceh: Terbukti usia bukan penghalang cinta apabila seorang perawan berusia 51 tahun menikahi suaminya yang muda lebih separuh usianya dengan gambar majlis mereka tular di media sosial, hujung minggu lalu, lapor media tempatan.
Wanita berkenaan, Nuraisyah berkahwin dengan Zulhery, 25, dalam majlis diadakan di Gampong Uteun Geulinggang, Dewantara, Aceh Utara, pada 18 Oktober lalu, lapor Liputan6.
Kedua-duanya yang tidak pernah berkahwin atau berpasangan sebelum ini mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dengan ada yang memuji namun tidak kurang juga mengutuk pasangan berkenaan.
“Bagi saya, tiada masalah. Apa yang penting kami saling menyayangi dan mencintai. Kami berdua yang melaluinya, bukan orang lain.
“Lagipun, mereka yang mengutuk belum tentu berpasangan lagi. Jadi, tidak perlulah terlalu lantang mengkritik,” kata Nuraisyah.
Gambar yang tular menunjukkan pasangan itu berpakaian tradisional Aceh di atas pelamin manakala maharnya dua mayam emas, lapor portal berita Rakyatku. - Harian Metro