Kecawa Dapat Anak Perempuan Lagi, Bapa Jual Bayinya


YIWU: Seorang bapa di China yang terdesak mahukan anak lelaki tergamak menjual bayi perempuannya yang baharu berusia 10 hari dengan harga 4,000 yuan (RM2,401).

Menurut polis daerah Yiwu, lelaki bernama Xiaohui itu dikatakan kecewa apabila mendapat anak perempuan untuk kali kedua.

Tanpa berfikir panjang, dia menjual bayinya yang berusia 10 hari kepada satu pasangan di wilayah Hubei dengan harga 4,000 yuan (RM2,401) pada penghujung September lalu.

Tindakannya itu dilaporkan kepada pihak polis oleh ibu kandung lelaki berkenaan setelah menyedari cucunya hilang.

Dalam kenyataan kepada polis, Li, 42, memberitahu bahawa anak lelakinya sering menolak permintaannya untuk menjaga cucu yang baharu dilahirkan itu.

"Saya hanya melihat cucu saya untuk beberapa kali, selepas itu saya tidak pernah melihatnya lagi, malah anak lelaki saya tidak mengizinkan saya masuk ke rumah," katanya sambil menambah dia hanya dibenarkan meninggalkan lauk yang dimasak di depan pintu.

Pada Oktober lalu, Li akhirnya berpeluang melawat menantunya ketika anaknya tiada di rumah, namun kelibat cucu keduanya itu langsung tidak kelihatan.

Mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah berlaku, wanita itu membuat laporan polis dan akhirnya Xiaohui mengaku menjual bayinya kerana mahukan anak lelaki.

Xiaohui yang juga seorang penganggur, mendakwa berasa tertekan dari segi kewangan kerana telah pun mempunyai seorang anak perempuan sebelum ini.

Pada Oktober 15 yang lalu, pihak polis berjaya menjejaki bayi berkenaan yang kini di bawah jagaan ibu dan neneknya.

Xiaohui dan pasangan yang mengaku membeli bayi tersebut telah ditahan polis, mengikut undang-undang China, kesalahan pemerdagangan dan penjualan wanita dan kanak-kanak boleh dihukum lima hingga 10 tahun penjara, namun, hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati juga boleh dikenakan. - Astro AWANI