Perintah Berkurung Untuk Remaja Bawah 18 Tahun Selepas Jam 12 Malam


Kerajaan Pas Kelantan sedia menimbang pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, sekurang-kurangnya tujuh buah negara di dunia sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, antara negara yang sudah melaksanakannya adalah Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand, Jerman, Britain, Iceland dan United Kingdom (UK).

"Cadangan perintah berkurung mampu merapatkan hubungan kekeluargaan dan menurunkan kadar gejala sosial, peraturan sebegini sudah dilaksanakan di lebih 500 buah bandar di AS dan banyak negara lain.

"Kebanyakan negara menetapkan remaja berusia 16 tahun ke bawah tidak boleh keluar rumah melebihi ‪pukul 10‬ malam manakala bagi remaja bawah 18 tahun pula larangan adalah pada waktu melebihi ‪pukul 12‬ tengah malam,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mumtaz berkata, pihaknya akan membuat kajian lanjut mengenai peraturan perintah berkurung kerana masalah gejala sosial terutama kalangan anak muda adalah isu serius yang perlu ditangani dengan sewajarnya oleh semua pihak. - UTUSAN ONLINE