Video Nurul Ajar Anak Perempuannya Beri Amaran Di IG


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata Nurul Hidayah Ahmad Zahid harus melindungi anaknya di internet.

"Ibu bapa harus melindungi anak-anak mereka dan tidak membenarkan video mereka disebarkan di internet," kata Yeoh di Twitter hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Nurul Hidayah, anak perempuan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyiarkan video anaknya 'memberi amaran' di Instagram.

Dalam video itu, kanak-kanak berumur sembilan tahun itu berkata: "Saya akan buat hidup kamu tak stabil, saya akan buat kamu menyesal seumur hidup".

Cucu kepada Ahmad Zahid itu juga dilihat memakai T-shirt mirip pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Video itu susulan daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadap datuknya.

Pada Jumaat lalu, Zahid didakwa dengan 45 kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan anggota parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta bagi semua pertuduhan.