MOSCOW: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan selepas mukanya dicakar singa sarkas, pada pertunjukan dikhaskan untuk kanak-kanak, kata pegawai, hari ini.
Kejadian berlaku semalam disiasat Jawatankuasa Siasatan.
Kejadian berlaku pada pertunjukan sarkas di kampung Uspenskoye di wilayah Krasnodar, 1,250 kilometer ke selatan Moscow.
Rakaman amatur di televisyen menunjukkan haiwan liar itu yang dikawal penjinak singa, tiba-tiba menerkam mangsa.
Serangan seumpama itu kerap berlaku di Russia, yang menyaksikan penggunaan haiwan liar adalah perkara biasa dan sarkas yang tidak dikawal dengan baik melakukan pertunjukan di wilayah di negara itu.
Jawatankuasa Siasatan melancarkan siasatan mengenai pelanggaran keselamatan pada persembahan dikhaskan untuk kanak-kanak dan menahan pengarahnya, yang berhadapan hukuman penjara sehingga enam tahun.
Rakaman video menunjukkan cuma jaring longgar melindungi penonton.
Imej juga menunjukkan budak itu berdiri berhampiran gelanggang dengan membelakangkan singa betina itu.
Pegawai berkata, budak itu dibawa ke hospital kanak-kanak di ibu negeri Krasnador dengan luka pada muka dan kecederaan lain.
Pegawai tempatan memberitahu agensi berita RIA Novosti singa itu tidak menggigit mangsa tetapi mencakar mukanya.
Penjinak singa dan pengarah Moscow Big Circus, Eduard Zapashny, mengkritik ‘kecuaian jenayah’ oleh pengarah sarkas yang ditahan dan penjinak yang ‘amat tidak profesional’ dalam ulasan kepada stesen radio National News Service.