LELAKI ditahan polis di Bandar Enstek, di Nilai, Isnin lalu, selepas dipercayai meliwat dua anak perempuannya, sejak tujuh tahun lalu.
Difahamkan, suspek berusia 37 tahun melakukan perbuatan itu sejak 2011 selepas bercerai dengan isterinya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek ditahan selepas laporan daripada salah seorang mangsa yang kini berusia 16 tahun.
“Selepas bercerai dengan isteri, suspek menjaga dua anak perempuan yang ketika itu masing-masing berumur sembilan dan lapan tahun.
“Mangsa mendakwa dia dan adiknya diperlakukan perbuatan terkutuk itu sejak 2011,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu, suspek yang tidak bekerja ditahan di rumahnya.
“Soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan tidak bermoral itu.
“Kali terakhir, suspek melakukan perbuatan itu adalah pada Jun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Nor Marzukee berkata, selepas kejadian terakhir, dua beradik berkenaan berpindah ke rumah nenek.
“Dua beradik itu kemudian menetap semula bersama ibu kandung mereka di Ampang," katanya.
Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga Isnin ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. - Harian Metro