Pengurus Produksi Drama Didakwa Ugut Sebar Gambar.


Seorang pengurus produksi drama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel seorang pekerja hotel awal bulan lalu.

Shaiful Azwira Abdul Jabbar, 44, yang mempunyai dua isteri didakwa telah mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 24 tahun supaya menyerahkan wang RM1,000 atau melakukan hubungan seks dengannya empat kali sebulan sekiranya tidak mahu gambar bogel mangsa disebarkan.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lembah Jaya Permai, Ampang, dekat sini pada pukul 11 malam, 7 Disember lalu.


Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.


Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibernarkan jaminan kerana perlu menguruskan anak-anak di samping hanya isteri pertama sahaja yang bekerja buat masa ini.


Haslinda kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan menetapkan 15 Februari 2019 untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE